Amanah gesa BTN dihentikan, dakwa main isu perkauman


Nabihah Hamid

Amanah mendakwa modul BTN perlu dirombak supaya benih kebencian tidak lagi ditanam dalam kumpulan sasaran program. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2017.

PARTI Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan menghentikan modul berunsur perkauman yang digunakan Biro Tata Negara (BTN).

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata pendekatan terhadap peserta BTN yang menyasarkan peserta daripada penjawat awam dan pelajar universiti itu boleh menjurus kepada ancaman keganasan.

Ia juga dilihat boleh mencetuskan perasaan marah kepada masyarakat bukan Melayu.

“Modul dibawa BTN secara jelas mengajar, mendidik dan memupuk kebencian yang keterlaluan sama ada satu puak, kaum atau kelompok atas nama perkauman dan agama (dan) ia sangat berbahaya.

“BTN ada saham dalam menyemai benih keganasan, menyemai benih kebencian khususnya kepada golongan sasaran mereka untuk mempertahankan kerajaan yang ada hari ini.

“Mereka mainkan isu Cina Melayu, Cina khususnya bangsa lain (selain Melayu) ini adalah ancaman kepada negara kita, (mereka kata) kalau negara kita jatuh kepada Cina negara ini akan musnah, isu 13 Mei juga tidak terlepas daripada sebahagian daripada modul BTN,” katanya apabila ditanya media apakah bentuk isu perkauman yang dibangkitkan.

Malah, bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut mendakwa modul tersebut turut memburuk-burukkan pemimpin pembangkang.

“Mereka juga menjadikan individu tertentu sebagai sasaran dan sasaran baharu sekarang ialah Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Kit Siang juga dikatakan dekat dengan parti PAP di Singapura.

“Dulu masa saya dalam PAS, mereka sebut Addul Hadi Awang, Nik Aziz membawa ajaran sesat, pecah-belahkan masyarakat,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.

Salahuddin mendedahkan pihaknya menerima maklumat daripada penjawat awam dan pelajar yang menghadiri kursus tersebut.

Justeru katanya, BTN perlu mengambil pendekatan berbeza dengan menjadikan modul yang memberi manfaat pada negara.

“Sudah sampai masa BTN dirombak pendekatan dan modul supaya benih ini tidak lagi ditanam dalam fikiran rakyat, kita sudah hampir 60 tahun merdeka tetapi kenapa isu perkauman , isu agama masih lagi dipermainkan.

BTN ditubuhkan pada 1974 dibawah program belia dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1981, menurut laman rasminya.

BTN mempunyai 14 cawangan dan mempunyai 17 kem Bina Negara diseluruh negara.

The Malaysian Insight kini sedang mendapatkan reaksi menteri JPM dan pengurusan BTN mengenai dakwaan tersebut. – 14 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen