ANGGOTA Cawangan Khas yang mendakwa polis menjadi dalang disebalik penculikan aktivis yang hilang Amri Che Mat dipanggil untuk memberi keterangan di inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok.
Pegawai terbabit dipanggil untuk memberi keterangan selepas beliau didakwa memberitahu isteri kepada aktivis yang hilang itu bahawa pasukan pasukan polis daripada ibu pejabat bertanggungjawab di atas kehilangan Amri Che Mat dan Partor Raymond Koh.
Isteri Amri, Norhayati Ariffin membuat laporan polis selepas menerima maklumat itu dan inkuiri dibawa ke hadapan untuk mendengar keterangan kedua-dua pihak.
Sheryll Stothard, yang merupakan kenalan kepada keluarga Amri dan Koh berkata, menurut surat daripada Suhakam bertarikh 24 Mei kepada firma guaman yang mewakili keluarga Koh, suruhanjaya itu menjadualkan dua saksi untuk pendengaran kes Amri.
“Saksi yang dijadualkan oleh Suhakam adalah Norhayati (isteri Amri) pada pagi 30 Mei dan Sarjan Shamzaini pada 31 Mei petang.
“Sehingga hari ini, Suhakam masih belum maklumkan kepada kami sebarang perubahan jadual ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shamzaini didakwa sebagai seroang pegawai cawnagan khas yang berkaitan dengan ibu pejabat polis negeri Perlis.
Beliau merupakan pegawai yang didakwa bercakap kepada Norhayati dan anaknya di kediaman mereka di Kangar, Perlis pada 12 Mei. Beliau didakwa memberitahu mereka, penculikan itu dijalankan oleh pegawai kanan E2 Cawangan Khas Bukit Aman.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai mengesahkan mereka memanggil Norhayati dan Shamzaini untuk hadir di hadapan panel inkuiri.
Berikutan kaporan polis yang dibuat Norhayati, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Asmawati Ahmad, berkata siasatan lanjut akan dijalankan berhubung dakwaan itu, dan menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Amri yang merupakan aktivis sosial dilaporkan hilang pada 24 November, 2016 selepas meninggalkan rumahnya untuk berjumpa kawan.
Beliau dipercayai diculik sekumpulan lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kampung Pdang Behor.
Sementara itu, Koh diculik pada 13 Februari tahun lalu oleh beberapa lelaki bertopeng yang menggunakan kenderaan SUV warna hitam untuk menghalang keretaanya di Petaling Jaya. Beliau tidak ditemui sejak itu.
Suhakam menjalankan inkuiri awam berhubung kehilangan Amri, Koh dan Pastor Joshua dan Ruth Hilmi bagi mengenalpasti sekiranya kehilangan mereka merupakan kehilangan paksa. – 29 Mei, 2018.
Komen