ADA persoalan besar dalam Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14): siapa akan memimpin proses parti itu membetulkan hala tuju dan bangkit semula, dan seterusnya jadi pembangkang yang berwibawa untuk tempoh lima tahun akan datang.
Najib Razak sebelum meletak jawatan presiden Umno, dua hari selepas PRU14, menunjukkan dua naib presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein untuk menjalankan tugas-tugas presiden dan timbalan presiden.
Tetapi di akar umbi kini ada suara-suara yang mahu Umno diterajui oleh pelapis baharu, yang lebih memahami denyut dan nadi masa kini serta keresahan dan keinginan generasi zamannya.
Seorang pemimpin Umno yang tidak mahu dinamakan memberitahu The Malaysian Insight, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pasukannya kini amat aktif cuba mendapatkan sokongan bahagian untuk bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi parti tersebut.
Khairy adalah antara pemimpin Umno yang paling awal tampil bersuara secara terbuka, selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah pilihan raya, mengakui kesilapan pemimpin dan mengatakan ada banyak yang tidak kena tentang parti itu yang perlu diperbetulkan.
“Khairy dan Pemuda telah bergerak. Kemungkinan besar beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden bergandingan bersama seorang pemimpin lebih senior dalam parti itu,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan.
Pemimpin lebih senior yang dimaksudkan itu bukan Zahid atau Hishammuddin, jelas sumber itu.
“Pemimpin itu tidak mempunyai kontroversi seperti kepimpinan sebelum ini dan dilihat sebagai bersih, amanah dan berkarisma di mata masyarakat,” katanya lagi.
Sebuah cawangan Umno di Terengganu pada Ahad mencadangkan nama Tengku Razaleigh Hamzah diangkat sebagai presiden Umno untuk menerajui perubahan dalam parti itu selepas kalah pilihan raya umum yang baru lalu.
Seorang sumber lain yang juga ketua bahagian di Wilayah Persekutuan berkata, ada juga kelompok yang mahu melihat gandingan pimpinan dari Negeri Sembilan menerajui Umno, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan.
Mohamad dilihat seorang pemimpin yang boleh memulihkan semula semangat Umno selepas kalah PRU14 dan mendapatkan keyakinan rakyat di luar Umno, kata sumber itu.
“Beliau dilihat bersih dan berkarisma. Tetapi masalahnya, beliau bukan ahli Parlimen dan beliau juga datang dari bahagian yang sama dengan Khairy,” katanya.

Mohamad adalah ketua bahagian Umno Rembau manakala Khairy timbalannya, dan menurut sumber itu, tidak mustahil regu dari bahagian yang sama menerajui pusat walaupun ahli Umno di negeri mungkin ada pandangan sebaliknya.
Dalam pada itu, beberapa bahagian sudah mula membuat ketetapan pilihan mereka walaupun pencalonan belum dibuka.
Beberapa bahagian di Johor cenderung mengusulkan gandingan Hishammuddin dan Khairy untuk dua jawatan tertinggi parti itu, kata Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.
“Kami telah pun ada kata sepakat walaupun ini pendapat peribadi kami.
“Tapi kami minta sangat kepada Hishammuddin untuk mempertimbangkan supaya bertanding sebagai presiden Umno pada pemilihan akan datang,” katanya, seperti dipetik Utusan baru-baru ini.
Sementara itu, Umno Bahagian Pulai akan menyokong Zahid dan Hishammuddin untuk menerajui Umno, kata ketuanya Nur Jazlan Mohamed.
“Setakat ini terbuka dan saya rasa Zahid dan Hishammuddin akan menawarkan diri. Sama ada siapa nak mencabar mereka, itu kita tengoklah masa pemilihan akan datang.
“Di Pulai, kita akan menyokong Zahid dengan Hishammuddin sebagai presiden dan timbalan presiden,” katanya kepada media beberapa hari lalu. – 29 Mei, 2018.
Komen