SELEPAS hulubalang kalah perang, bala tenteranya terpinga-pinga.
Itulah gambaran Umno hari ini, hampir tiga minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diadakan pada hari Rabu 9 Mei – hari yang disebut-sebut semasa kempen sebagai hari rakyat akan buang parti itu.
Hampir tiga minggu berlalu, di mana-mana pun ceritanya agak serupa. Sesetengah pemimpin kanan Umno di pusat dan di bahagian memilih untuk mendiamkan diri dan enggan memberi sebarang ulasan mengenai beberapa perkembangan semasa atau masa depan parti itu.
“Angin memang belum elok lagi sekarang,” kata seorang ketua bahagian Umno di Wilayah Persekutuan yang enggan dinamakan.
Beliau menceritakan betapa hampir semua ahli Umno yang sejati di peringkat akar umbi masih berdukacita dengan nasib yang menimpa parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu.
Pada PRU14, BN bukan saja hilang kuasa di peringkat persekutuan tetapi hilang hampir semua negeri. BN kini menguasai hanya dua negeri saja iaitu Perlis dan Pahang. Umno kini hanya ada 54 kerusi di Parlimen, berbanding 88 selepas PRU2013.
“Umno sekarang ini tidak tentu arah. Belum ada pimpinan yang berjaya stabilkan ahli-ahli Umno setakat ini,” kata seorang exco sayap Pemuda Umno, yang juga enggan namanya dipetik.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin muncul antara pimpinan Umno yang awal membedah kesilapan parti itu sehingga ditolak sebahagian besar rakyat dalam PRU14, antaranya sebagai kegagalan ahli parti menegur pemimpin.
Selepas kalah PRU14, Najib Razak meletakkan jawatan parti dan menamakan dua naib presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein untuk memangku tugas sebagai presiden dan timbalan presiden.
Namun ada yang merasakan pimpinan yang ditunjukkan oleh Najib untuk menerajui Umno pada era baru ini belum lagi menampakkan daya kepimpinan mereka untuk membawa perubahan itu, kata exco sayap Pemuda itu.

“Semua macam takut kena kejar (dalam pemilihan jawatan parti),” tambahnya.
Dalam perbincangan membina semula parti selepas PRU14, Umno Melaka melontarkan idea agar tiga jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dan mengesahkan Zahid dan Hishammuddin ke jawatan yang dipangku sekarang, sementara Khairy dilantik sebagai salah seorang naib presiden.
Khairy bagaimanapun menyifatkan cadangan itu “mengarut” dan akan menghakis keyakinan umum kepada Umno. Padangan sama juga disuarakan banyak pimpinan di negeri lain dan itulah juga sentimen di akar umbi.
Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, tiga hari selepas cadangan Umno Melaka itu, Zahid yang memangku tugas sebagai presiden mengumumkan semua jawatan dalam parti dibuka untuk pertandingan.
Pemilihan di peringkat cawangan sedang berlangsung sehingga 10 Jun sementara peringkat sayap pada 23 Jun dan seminggu kemudian, pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 30 Jun. Pencalonannya dibuka 1 Jun ini sehingga pukul 5 petang, 17 Jun.
Namun ketua bahagian dari zon tengah tadi berkata sesetengah cawangan sehingga ini masih berdepan masalah untuk mengadakan mesyuarat dan pemilihan kerana kurang sambutan daripada ahli-ahli yang begitu kecewa.
“Kalau mesyuarat tidak dibuat, tidak mustahil cawangan boleh dibubarkan,” katanya, sambil meminta maklumat itu disahkan dengan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor atau Setiausaha Kerja Ab Rauf Yusoh.
Mereka bagaimanapun tidak dapat dihubungi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Mustapa Mohamed minggu lalu meminta ahli-ahli Umno supaya tidak terus tenggelam dalam kecewa sebaliknya segera mengadakan mesyuarat cawangan.
Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein pula sebelum itu menyeru semua ahli parti menggunakan mesyuarat di peringkat cawangan untuk memperbetulkan tekad perjuangan parti.
“Mesyuarat tersebut bukanlah tempat untuk kita berhentakan, menuding jari dan bergaduh sesama sendiri,” katanya, yang menjalankan tugas timbalan presiden.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail Aziz, bekas anggota jentera propaganda kerajaan BN, mengakui memang Umno kini nampak perlahan selepas PRU14, tetapi ia tidaklah sampai menjejaskan parti itu.
“Umno sedang bersatu semula. Umno mesti sebulat suara. Barulah yang mengikut kita akan hormat, begitu juga dengan musuh kita,” kata bekas Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu, mengulas kenapa pemimpin Umno kini dilihat jarang bersuara.
“Saya percaya ada perancangan di pelbagai peringkat sedang diatur. Secara keseluruhannya, Umno sedang bersatu semula,” katanya.
“Selepas PRU ini yang penting adalah kita muhasabah kelemahan yang ada dan buat perancangan semula. Kita tidak boleh mendadak,” tambahnya. – 28 Mei, 2018.
Komen