PH belum muktamadkan kepimpinan, tapi jangka daftar sebelum Raya


Nabihah Hamid

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengumumkan yang Pakatan Harapan dijangka didaftarkan sebelum Raya membolehkan gabungan pembangkang itu bergerak secara rasmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Jun, 2017.

MESKIPUN masih belum mengumumkan senarai barisan tertinggi Pakatan Harapan (PH), Amanah menjangkakan gabungan pembangkang itu akan didaftarkan selewat-lewatnya sebelum Raya.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH sudah mempunyai struktur jawatan yang akan diperkemaskan selain logo yang akan mengalami sedikit perubahan.

“Kita sudah selesaikan beberapa isu yang besar. Dan saya menjangkakan mungkin minggu depan, beberapa hari sebelum Raya kita akan adakan sekali lagi mesyuarat terakhir tentang logo. Yang lepas kita telah nilai satu logo cuma hendak minta sedikit perubahan.

“Kalau tidak ada perkara menghalang lagi mungkin akan cuba daftar sebelum Raya. Demikian (juga) isu jawatankuasa komite kita akan kemukakan pada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Keputusan pada Jumaat lepas ada berapa perkara (yang akan) bincang kembali di peringkat parti dan setiap parti telah berbincang (tentang kemajuan yang dicapai). Kami berjanji untuk membawa semula perkara itu dalam mesyuarat akan datang.

“Saya rasa kita cuba mengadakan mesyuarat sebelum Raya. Setakat ini struktur ada, cuma kita nak memperkemaskan (struktur) kita hendak semua orang ambil bahagian.

“Semua setuju (terma dan syarat) mengenai kedudukan kita hendak tetapkan. Jadi secara keseluruhan dah selesai persefahaman kita untuk menubuhkan pakatan harapan,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam satu sidang media di Wisma Amanah Negara Kuala Lumpur hari ini.

PH pada 9 Jun lalu menangguhkan pengumuman barisan Majlis Presiden yang bakal mengetuai pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika itu mengeluarkan kenyataan yang PH akan mengemukakan senarai kepada RoS minggu ini.

Sementara itu, ahli Majlis Presiden PH itu menegaskan pemilihan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri tidak mempunyai agenda tersirat, sebaliknya untuk menghargai jasa bekas ketua pembangkang sejak era reformasi itu. 

Beliau menjawab gesaan bekas Pengerusi Bersih 2 Ambiga Sreveenasan 10 Jun lalu, yang mahu isu calon PM dihentikan kerana ia menggambarkan yang Anwar hanya berminat menjadi PM seterusnya memburukkan imej bekas ketua pembangkang yang sedang menjalani hukuman penjara itu.

“Itu pandangan mana-mana individu dan perkembangan pakatan. Kita hormati. Kita percaya bila kita mengemukakan Anwar Ibrahim (sebagai calon tidak) ada kepentingan dan niat yang lain. 

“Itu berdasarkan pada sumbangan yang beliau telah berikan sejak era reformasi dalam membentuk dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat ketika itu,” katanya.

Tambahnya, meskipun ramai kepimpinan pakatan lain yang berbakat namun menganggap Anwar perlu dihormati untuk mengetuai pembangkang kerana jasanya.

“Saya yakin dan percaya kita ada ramai kepimpinan, bila-bila masa (boleh) pegang jawatan penting negara. Itu tidak boleh nafikan.” – 14 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen