PUTRAJAYA telah mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjalankan kajian mengenai penetapan harga tiket penerbangan semasa cuti perayaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau membuat keputusan tersebut selepas menerima aduan dari rakyat Malaysia berkenaan harga tiket penerbangan yang tinggi terutamanya penerbangan ke Sabah dan Sarawak.
“Saya telah meminta Mavcom membuat satu kajian untuk mengetahui sama ada kita boleh menetapkan harga siling semasa musim perayaan.
“(Ada) banyak aduan bahawa harganya sangat tinggi,” beliau berkata demikian pada sidang media hari ini.
Loke menambah, beliau tidak mahu mengganggu industri penerbangan ketika ini dan mahu melakukan kajian komprehensif sebelum mengumumkan sebarang keputusan.
“Kami tak mahu mengganggu pasaan tetapi ini masalah yang sering dihadapi rakyat Malaysia ketika musim perayaan, terutamanya yang membuat penerbangan ke Sabah dan Sarawak.”
Ahli Parlimen Seremban itu juga berkata beliau berharap dapat mengumumkan sebelum Hari Raya pada bulan depan. Namun, beliau perlu membuat lebih banyak penilaian mengenainya.
“Saya tahu orang ramai mahu saya buat pengumuman sebelum raya, tetapi saya tak boleh buat begitu kerana ini perlu dibincangkan terlebih dulu.
“Satu kajian penuh mesti dilakukan secepat mungkin. Sebarang pengumuman akan dibuat kemudian,” kata Loke. – 28 Mei, 2018.
Komen