Pemilihan PBT, basmi miskin bandar jadi keutamaan Nik Nazmi


Sheridan Mahavera

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad ingin menyelesaikan isu rumah pangsa kos rendah dan kemiskinan bandar yang sejak sekian lama membelenggu penduduknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mei, 2018.

MEMPERKENALKAN semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk Kuala Lumpur adalah keutamaan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) ingin mewujudkan kerajaan tempatan yang lebih bertanggungjawab dan responsif.

Antara masalah utama di ibu negara adalah pembangunan berlebihan, perumahan kos rendah usang dan isu kemiskinan yang tidak selesai kerana di bawah pentadbiran pegawai yang tidak dipilih, kata Nik Nazmi.

Berdasarkan struktur sekarang, Kuala Lumpur dikawal oleh seorang menteri, menyebabkan berlakunya konflik kepentingan dalam keputusan yang dibuat, kata ahli Parlimen Setiawangsa yang baru dipilih itu.

Kes yang dimaksudkan ialah apabila projek bertingkat dan berkepadatan tinggi dijalankan oleh entiti berkaitan kerajaan yang diketuai oleh menteri bertanggungjawab untuk meluluskan aktiviti tersebut.

Antara projeknya ialah di Taman Tun Dr Ismail dan Taman Desa, yang diluluskan walaupun terdapat bantahan daripada penduduk.

“Terdapat defisit demokrasi sebenar di Kuala Lumpur. Orang di negeri lain mendapat dua undi, untuk kerajaan persekutuan dan negeri. Penduduk KL hanya mendapat satu,” kata Nik Nazmi kepada The Malaysian Insight.

Beliau akan mencadangkan kerajaan PH menubuhkan pilihan raya majlis tempatan untuk Kuala Lumpur atau pemilihan langsung bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Sekurang-kurangnya, PH boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa perundingan bagi Wilayah Persekutuan, yang terdiri daripada 11 orang ahli Parlimen.

Pilihan raya majlis tempatan digantung pada “konfrontasi” 1965 dengan Indonesia oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu.

Keutamaan lain bagi Nik Nazmi adalah membasmi kemiskinan bandar, terutamanya rumah pangsa kos rendah di Setiawangsa.

Beliau merancang untuk menubuhkan kelas tuisyen komuniti dengan mengambil contoh Projek Mentari, yang dimulakannya di rumah pangsa kos rendah Desa Menteri, terletak di kawasan Seri Setia sedekad yang lalu.

“Kunci untuk menghapuskan kemiskinan adalah memastikan mobiliti sosial untuk keluarga. Dengan pendidikan yang lebih baik, anak-anak boleh mendapatkan pekerjaan lebih baik dan membawa keluar ibu bapa mereka keluar dari flat-flat ini.

“Kita tidak mahu situasi di mana dua atau tiga generasi keluarga terperangkap dalam flat ini.”

Di Parlimen, Nik Nazmi akan berusaha memperkenalkan peraturan pembiayaan untuk parti politik bagi membolehkan mereka bergerak sambil mengekang pengaruh politik wang yang merosakkan.

Ini termasuk menjadikan proses mencari dana telus, supaya rakyat tahu dari mana dan parti dan ahli politik mana yang menerima wang mereka.

“Saya juga sedang mengkaji membataskan pembiayaan awam untuk parti politik, terutamanya pembangkang. Di UK, Parlimen menaja penyelidikan untuk parti pembangkang.”

Bagi membuktikan apa yang dikata, Nik Nazmi akan terus mengumumkan asetnya secara terbuka setiap tahun. – 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen