SETIAP tahun, Mohamad Sabu mengadakan majlis berbuka puasa di rumahnya di Tasek Gelugor tetapi majlis tahun ini berlainan daripada tahun sebelumnya.
Ini adalah kali pertama beliau mengadakan majlis sebegitu selepas dilantik menjadi menteri pertahanan.
Hampir seribu orang menghadiri majlis di Kampung Guar Petai, Seberang Perai Utara, tempat lahir Mohamad, memeriahkan majlis yang selama ini diadakan secara kecil-kecilan itu.
Hujan lebat dan majlis sederhana itu tidak menghalang mereka yang mahu berjumpa menteri baru untuk mengucapkan tahniah.
Nasir Hussein, 54, salah seorang penduduk kampung Mohamad berkata beliau sangat gembira untuk kehidupan baru ahli politik disukai ramai itu yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu.
“Kami tumpang seronok. Saya kenal dia sejak dia bersama PAS. Hampir 30 tahun.
“Saya selalu datang dengar ceramahnya. Dia penceramah yang bagus,” katanya.
Nasir mengatakan Mohamad berdepan banyak cabaran sebelum jadi menteri, termasuklah ketika menjadi pemimpin PAS, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), meninggalkan parti Islam untuk membentuk parti lain dan mengharungi pilihan raya sengit mengemudi parti baru.
“Baguslah dia dilantik jadi menteri. Dia akan buat dengan baik. Dia ahli politik yang berpengalaman yang dah tempuh banyak perkara.
“Kalau difikir balik, kita ada beberapa menteri dalam kerajaan baru yang dah pernah dipenjara,” katanya.
Nasir menambah yang beliau gembira Mohamad masih dirinya yang lama walaupun kini adalah salah seorang menteri kanan kerajaan.
Mohd Hanafiah A. Rahman, 64, pula datang dari Baling, Kedah untuk berjumpa Mohamad.
Bekas ahli PAS itu mengatakan apabila Mohamad dan beberapa pemimpin progresif parti Islam itu keluar parti, beliau ikut serta keluar.
“Saya dah kenal dia lama. Dia seorang aktivis lama PAS. Dia orang yang baik dan rapat dengan rakyat,” katanya.
Tanpa menghiraukan hujan rintik, Mohamad berjalan berjumpa dengan penduduk kampung yang hadir dengan hanya berselipar mengharung lopak air yang wujud.
Ditanya apakah yang dikatakan orang kampung kepadanya, Mohamad memberitahu The Malaysian Insight: “Orang kampung terlalu gembira.”
Pada ucapan singkatnya sebelum majlis bermula, Mohamad meminta maaf kerana tidak menjadi tuan rumah yang baik, bimbang makanan tidak cukup untuk semua orang yang hadir.
“Buka puasa ini pada mulanya untuk penduduk kampung dan kawan rapat sahaja, seperti tahun-tahun sebelum ini. Tetapi kawan-kawan umum di Facebook.
“Kami buat rancangan lain. Kami sediakan lebih banyak makanan. Saya harap cukup untuk semua orang. Saya minta maaf jika tak cukup.
“Rumah terbuka ini bukan oleh Kementerian Pertahanan. Ia dianjurkan Abang Mat, dan orang kampung,” katanya.
Beliau juga bercakap tentang perjalanan politiknya, tentang kemenangan dalam pilihan raya dengan majoriti undi 71,000 di kerus Parlimen Kota Raja di Selangor, dilantik jadi menteri pertahanan dan kini cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.
“Dulu bila orang beruniform datang rumah, saya akan fikir mereka hendak tangkap saya. Sekarang bila mereka datang, mereka hendak bagi perlindungan.
“Sekarang ke mana sahaja saya pergi ada orang teman untuk beri perlindungan,” katanya berjenaka, tabiat yang kini jadi identitinya.
Mohamad juga mengatakan sekarang beliau sudah tak boleh berceramah seperti dahulu, menjelaskan yang beliau kini perlu jaga kata-katanya kerana sudah jadi menteri.
“Lepas ini, jangan marah dengan saya kalau ceramah saya tak sedap macam dulu.”
Beliau juga memberikan jaminan yang walaupun kerajaan Pakatan Harapan perlu menguruskan hutang negara mencecah RM1 trilion, langkah akan diambil untuk memastikan ekonomi kembali baik dan meningkatkan usaha menjaga kebajikan rakyat.
“BR1M akan dibayar sebelum Hari Raya guna nama baru…BROOM, BRAM, saya tak tahu,” katanya mengulangi jenaka yang dibuatnya sebelum ini tentang bantuan rakyat yang diperkenalkan pentadbiran Barisan Nasional itu.
Mohamad juga mengatakan Putrajaya akan menggerakkan negara supaya setanding dengan negara Asean lain yang kini sudah mendahului negara dalam pertumbuhan ekonomi.
“Malaysia akan jadi hebat balik di masa depan,” katanya disambut ketawa hadirin.
Terma “hebat kembali” menjadi popular ketika kempen Presiden Donald Trump 2016. Ketika PRU14, BN menggunakan slogan yang hampir serupa, “Bersama BN, Hebatkan Negaraku.” – 28 Mei, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan