LIEW Chin Tong diraikan dan diangkat seperti seorang juara meskipun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Beliau diwawancara ramai pihak, menerima permintaan untuk tampil dalam pelbagai program, dan diberikan penghargaan yang tidak pernah ditunjukkan sebelum ini.
Liew, menyedari dirinya diberikan penghargaan ekoran ramalannya tentang gelombang tsunami politik di Johor dan dianggap sebagai ahli strategi di sebalik kemenangan bergaya DAP pada 2018.
Bagaimanapun pemimpin berusia 41 tahun itu menolak segala pujian yang diberikan kepadanya, sambil berkata yang kejayaan itu adalah hasil daripada pemahamannya tentang medan politik di negeri selatan itu - memahami yang negeri itu sudah bersiap-siaga untuk melakukan perubahan di tampuk kepimpinan.
Seawal 2015, beliau dapat merasakan kebencian rakyat terhadap Najib Razak dan Isterinya Rosmah Mansor kian membuak-buak.
Rakyat Malaysia, yang bergelut meneruskan hidup dengan peningkatan kos sara hidup, tidak dapat menerima kehidupan mewah Najib dan Rosmah dan penglibatan mereka dalam skandal penyelewengan.
Kata Liew, banyak tinjauan yang dijalankan di Johor sejak 2015 menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) dan Najib semakin merudum.
Pada ketika itu, Liew menyatakan yang populariti Najib jatuh sebanyak 20%. Sejak itu, pandangan rakyat terhadap Najib tidak dapat diubah.
“Dalam kalangan pengundi Melayu, populariti beliau hanya 40%,” kata Liew yang merupakan ketua DAP Johor kepada The Malaysian Insight.
Pendek kata, berlaku kekosongan dalam kepimpinan negara berikutan rasa tidak puas hati terhadap Najib dan juga sekutu politiknya, Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Selepas mengalami jatuh bangun buat seketika, pembangkang menerima tuah yang tak dijangka. Parti Bersatu yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
Beliau kemudiannya mengisi kekosongan kepimpinan.
Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah, Amanah, PKR dan DAP terpaksa mengatasi perasaan peribadi mereka terhadap Dr Mahathir.
__full.jpg)
Terdapat rasa permusuhan yang mendalam, dengan sebahagian daripada pemimpin PH mengungkit semula peristiwa Dr Mahathir menghumban ikon pembangkang Anwar Ibrahim ke dalam penjara pada 1998.
Beliau berkata ia adalah langkah asas dalam penyusunan semula struktur gabungan pembangkang setelah Dr Mahathir dan partinya Bersatu menyertai PH secara rasmi pada 2017.
“Struktur ini mengambil sedikit masa untuk semua bersetuju dan bersatu dan untuk DAP menerima Dr Mahathir.
“Namun kesepakatan dicapai antara parti komponen PH apabila mereka bersetuju untuk melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya serta Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri kelapan negara.
PH menang 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 18 kerusi Parlimen di negeri kelahiran Umno tersebut.
Liew yang menyertai DAP pada 1999 dan hampir mengalahkan calon MCA Wee Ka Siong di pertarungan di kerusi Parlimen Ayer Hitam, tewas dengan 303 undi.
“Saya tidak berasa teruk kerana sewaktu saya tahu saya kalah, PH sudah berjaya merampas Putrajaya.
“Jadi, tidak mengapa kerana kami menang. Saya bertanding dengan kesedaran dan tahu ia adalah kerusi sukar tetapi tujuan utamanya adalah untuk mencetuskan gelombang dan menyedarkan orang ramai yang Johor mampu untuk ditawan.”
Pun begitu, beliau masih berpeluang menang di Ayer Hitam.
Beliau sudah mengarahkan peguamnya dan bekas presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh untuk mengkaji kes dan meniliti jika mereka mempunyai asas yang mencukupi untuk memfailkan petisyen pilihan raya.
Sehingga isu ini diselesaikan, tumpuan beliau adalah untuk memainkan peranan dalam membantu menteri PH dalam melaksanakan tugas baharu mereka. – 28 Mei, 2018.
Komen