RAKYAT sudah lama mengugut mahu menumbangkan Umno sejak 1999 tetapi bekas parti pemerintah itu seolah-olah tidak dapat memahami kehendak rakyat yang mahukan sebuah negara yang lebih inklusif, lebih bersih dan lebih memberikan harapan.
Semua pilihan raya sejak 1999 menunjukkan jumlah undi untuk Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno merosot apabila pengundi makin kecewa dengan penyelewengan yang berleluasa, tadbir urus yang lemah, peluang ekonomi yang terhad dan sikap tidak acuh terhadap kedaulatan undang-undang.
Tetapi pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak gagal menyahut seruan ke arah pembaharuan, sebaliknya tunduk kepada desakan haluan kanan dalam Umno yang mahu keadaan kekal selama-lamanya.
Pendek kata, Umno dan BN hanya menunggu masa sebelum diajar oleh pengundi.
Prof Dr Edmund Terence Gomez, pensyarah ekonomi politik di Universiti Malaya berkata, tanda-tandanya sudah jelas sejak pilihan raya 1999.
“Umno sudah diberitahu sejak 1999 yang rakyat mahukan perubahan; walaupun dicuba oleh Abdullah dan Najib, perubahan itu tidak berlaku.
“Abdullah mengangkat agenda reformasi dan menang besar pada 2004, namun beliau tidak buat apa-apa selepas itu. Begitu juga, apabila Najib mengambil alih. Beliau menjanjikan perubahan dan menamatkan politik berasaskan kaum dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia.
“Tetapi kerana ditekan, beliau terpesong jauh ke kanan dan mensasarkan undi Melayu dengan menggunakan syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan. Selepas itu, beliau menyalahgunakan GLC untuk kepentingan sendiri dan pengundi menghukum partinya kerana itu,” kata Gomez, yang sudah menulis beberapa buah buku mengenai GLC dan Umno.
Pada pilihan raya 2004, perdana menteri ketika itu Abdullah memimpin BN mencapai kemenangannya yang paling besar apabila meraih 198 kerusi daripada 219 kerusi Parlimen. Undi popular BN sebanyak 63.85% diterjemahkan kepada penguasaan 90.14% kerusi.
Dalam pilihan raya 2008, BN menang undi popular sebanyak 51.39% (jatuh 12.46%) untuk mengumpulkan 140 daripada 222 kerusi Parlimen. Undi popular BN sekali lagi merudum pada 2013 kepada 47.38% (jatuh 4.01%) untuk menang 133 kerusi.

Dalam pilihan raya 2013, undi popular BN menjunam kepada 33.8% (merosot 13.58%) dan hanya menang 79 kerusi Parlimen.
Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di bawah logo PKR mendapat 45.56% undi popular untuk mendapat 113 kerusi sementara sekutunya Warisan di Sabah meraih 2.32% undi popular untuk menang lapan kerusi.
Gagasan Sejahtera pimpinan PAS dapat 18 kerusi dengan 17% undi popular.
Pengarah Merdeka Centre for Opinion Research, Ibrahim Suffian berkata kekalahan BN juga dimuktamadkan oleh faktor Dr Mahathir Mohamad.
“Selepas 2008, Najib cuba bergerak ke tengah apabila melancarkan kempen 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi. Namun beliau berdepan tekanan dalaman dari kumpulan yang lebih konservatif dalam parti,” kata Ibrahim.
“Sebahagian daripada tekanan ini datangnya daripada Dr Mahathir dan kumpulan hak Melayu, Perkasa yang tidak mahu memenuhi kehendak kelompok bukan Melayu,” katanya.
Ironinya, Mahathir Mohamad 2.0 berkempen di atas platform yang lebih inklusif dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kalau mereka mahu menyelamatkan negara, mereka harus mengundi PH.
Dr Mahathir dan PH berjanji akan menangani masalah rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, mempertahankan kedaulatan undang-undang dan memperbaiki kualiti negara yang merosot.
Tidak hairanlah rakyat mengundi mereka untuk ke Putrajaya.
PH memberikan rakyat apa yang mereka laungkan dengan lantang sejak 1999. – 28 Mei, 2018.
Komen