KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar berpegang teguh kepada agenda pembaharuan negara dan tidak terganggu dengan pertelingkahan dalam merebut jawatan.
“Jangan meminta-minta jawatan, harta atau kuasa kerana ia akan menjejaskan seluruh semangat perjuangan,” kata Anwar dalam ucapan pada majlis buka puasa di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur petang tadi.
Beliau menemani isterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ke majlis tersebut.
“Saya cakap dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa saya sebagai rakyat biasa saya akan ajak rakyat-rakyat kita pantau macam mana tugas TPM di Pandan.
“Ini menjadi tugas kita sekarang, bukan untuk mencerca tetapi menegur dengan penuh kasih sayang bahawa tanggungjawab (kerajaan) ini perlu dilaksanakan dengan baik,” katanya.
“Kita pantau tugas (ketua Amanah Selangor) Izham Hashim (sebagai Adun) di Pandan Indah,” kata Anwar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Izham dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mengenai seruan perpaduan umat Islam antara Umno dan PAS, Anwar berkata perpaduan penting tetapi ia harus disandarkan dengan matlamat yang betul.
“Ia tidak boleh jadi (perpaduan) mencuri aset rakyat atau meningkatkan kadar cukai yang membebankan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Dr Wan Azizah dalam ucapanya menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan baharu adalah untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita harus memperkuatkan peribadi dan keyakinan, dan menggunakan kebebasan kita dengan baik,” katanya. – 27 Mei, 2018.
Komen