KEUTAMAAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah untuk menyelamatkan negara daripada menjadi bankrap, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu, sambil menambah buat masa ini, tiada kepentingan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
Mohamad, yang sinonim dengan gelaran Mat Sabu, berkata demikian mengulas laporan berhubung gesaan PAS supaya Amanah membangkitkan mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 di Dewan Rakyat.
Mat Sabu, yang merupakan bekas pemimpin PAS berkata, RUU itu bukan satu kepentingan.
“Amanah akan mengadakan mesyuarat pada Selasa. Kami boleh bincangkan perkara ini kalau ada agenda seumpamanya. Ini adalah perkara yang kami harus minta nasihat pakar Islam. Tetapi keutamaan PH buat masa ini adalah menentang rasuah dan salah guna kuasa,” kata menteri pertahanan kepada pemberita pada majlis buka puasa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor di Pulau Pinang, hari ini.
Mat Sabu berkata rakyat sedar mengenai hutang kerajaan yang mencecah lebih RM1 trilion dan penyalahgunaan kuasa oleh pentadbiran terdahulu terutama membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Pendedahan-pendedahan itu mengejutkan kita semua. Jadi keutamaan bagi semua kementerian dalam kerajaan PH adalah tentang ekonomi dan rakyat.
“Sekarang adalah masa untuk menyelamatkan Malaysia supaya kita tidak menjadi seperti negara Greece. Jika kita tidak tangani situasi ini dengan baik, kita berisiko bankrap, rakyat akan sengsara.
“RUU355 adalah perkara yang PH dan Amanah boleh bincangkan dari masa ke semasa,” katanya.
Awal hari ini, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata wakil rakyat Amanah harus mengotakan janji membentangkan RUU355 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata pemimpin Amanah sebelum ini mendakwa perlu membentuk kerajaan terlebih dahulu untuk membangkitkan perkara itu.
Amanah adalah parti komponen PH, yang menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Kerajaan BN sebelum ini membenarkan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang membentangkan RUU tersebut, yang antara lain menyentuh mengenai peningkatan had hukuman kesalahan Syariah, semasa sidang Dewan Rakyat pada April 2017. RUU itu bagaimanapun tidak masuk tahap perbahasan. – 27 Mei, 2018.
Komen