Politik kini kurang ajar dan ganas, kata ahli politik veteran


Nabihah Hamid

Ahli politik veteran kesal dengan insiden di bazar Ramadan, Kluang membabitkan ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong (dua dari kanan) yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2017.

SERANGAN yang berlaku kepada wakil rakyat DAP, Liew Chin Tong tidak pernah terjadi pada era politik sedekad lalu, kata bekas menteri Umno Syed Hamid Albar.

Katanya, meskipun era dan zaman berubah namun insiden menghalang ahli Parlimen Kluang itu mengedarkan buah kurma di bulan Ramadan tidak sepatutnya berlaku.

“Perkara begini tidak pernah berlaku (waktu dahulu). Lagipun pada masa itu Barisan Nasional (BN) kuat dan cara berpolitik lebih sopan. 

“Dalam kata lain ia tidak seagresif seperti sekarang. Jika kita perhatikan perbahasan Parlimen pun kurang adab dan dekorumnya. Pilihan raya umum (PRU) yang dekat boleh mempengaruhi sikap. Walaupun (begitu), saya fikir ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tidak menganggap pemberian kurma merupakan gimik politik, bekas ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata pendekatan sama lama digunakan BN dan Umno. 

“Saya tidak fikir memberi kurma satu gimik. Mereka ikut amalan orang Islam. Saya lebih bersikap terbuka walaupun itu gimik politik. Bermakna orang lain tertarik dengan cara Umno atau BN amalkan. BN buat secara terbuka jadi orang tiru.”

Syed Hamid turut menegaskan apa yang berlaku bukanlah isu perkauman tetapi perbezaan pendapat politik.

“Perkara sebegitu boleh dimanipulasikan untuk politik dan menjejas hubungan kaum,“katanya lagi. 

Pada 10 Jun lalu, Liew dikasari ketika memberikan kurma percuma kepada pengunjung bazar Ramadan di Kluang, Johor. 

Rakaman rusuhan tular di media sosial dan mengundang kritikan netizen serta pemimpin kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. 

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran berkata kejadian tersebut memberi imej buruk kepada Islam pada bulan Ramadhan.

Ahli politik DAP itu juga turut berkongsi pengalamannya di Teluk Intan, Perak pada 2008 yang tidak mengalami masalah membuat sebarang aktiviti.

“Waktu saya tidak sebegini. Ini perkembangan tidak baik lebih-lebih lagi waktu Ramadan dan saya rasa masyarakat perlu lebih bersabar. 

“Saya dulu pergi ke kawasan saya ke Kampung Bahagia dan berbuka puasa. Saya buat benda sama dan tiada  yang mengacau kami walaupun di kawasan kami pergi adalah kawasan Umno,” katanya.

Justeru, perkara sebegini katanya perlu dihentikan agar kejadian sama tidak berulang dan memecahbelahkan masyarakat. 

“Ini menunjukkan betapa terdesaknya Umno sekarang. Ini bukan gimik dan reaksi sebenar daripada Umno. Saya rasa mungkin mereka tidak mahu Liew buat kerja akar umbi di kawasan Melayu. Ia tidak bagus untuk Malaysia.”

Bagi Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid perkara ini tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi apabila negara sudah mencapai kemerdekaan lebih lima dekad. 

Bagaimanapun, timbalan pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu yakin ia dapat diselesaikan kerana sikap toleransi antara satu sama lain. 

“Kenapa kita tidak mencapai tahap perpaduan lagi kerana ada isu (serangan) sebegini. Isu berkaitan agama, etnik masih lagi terjadi seolah-olah tidak selesai walaupun kita sudah merdeka lebih 50 tahun.

“Namun, Malaysia mempunyai formula tawar-menawar, perundingan dan pengantaraan untuk menyelesaikan semua rintangan politik,” katanya yang merujuk bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaan melalui formula tersebut. 

Sementara itu, mengutuk serangan menimpa Liew, bekas ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof berkata DAP perlu menggunakan pendekatan lain yang lebih diplomasi.

“Saya menemplak tindakan tersebut tapi pada masa sama menggalakkan kawan yang tahu ini perkara baik dibuat, perlu lebih memahami pendekatan agar perkara tersebut tidak mengundang reaksi negatif kepada mereka.” 

Menurutnya, sebagai wakil rakyat perlu dilihat konsisten mengadakan aktiviti di sesebuah kawasan. 

“Kita kena tengok perkara sendiri adakah dibuat secara konsisten? Sebagai contoh, jarang pergi surau, tidak pernah fikir pasal orang Melayu, tiba-tiba ia jadi macam ia satu perkara besar dan luar biasa, sudah semestinya akan mengundang reaksi,” katanya. – 15 Jun, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen