PAS berpendirian bahawa NGO pro-Islam, JABAT tidak harus membuat serbuan sendiri seperti kes di sebuah pasaraya di Manjoi yang didapati menjual arak.
Timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, NGO tersebut seharusnya menyerahkan agar tindakan dijalankan pihak berkuasa.
“NGO perlu bertindak mengikut peraturan yang ada dan dia tak boleh bertindak luar daripada batas-batas itu,” katanya kepada Malaysia Decides.
Tambahnya, pihak pengurusan juga seharusnya lebih sensitif dan memohon kebenaran terlebih dahulu untuk menjual arak terlebih dahlu memandangkan majoriti penduduk di Manjoi merupakan penganut Islam.
“Sesetengah kedai pasaraya yang di majoriti penduduk Islam dia kena ada lesen, kebenaran. Jadi dia (Speedmart99) kena mohon kebenaran. Mungkin ada kes melibatkan remaja Islam yang beli,” kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi.
Beliau turut mengingatkan bahaw orang Islam tidak berhak mengalang orang bukan Islam daripada meminum arak.
“Cuma apa yang penting, dalam Islam kita tak boleh menghalang orang bukan Islam untuk minum. Itu hak dia – hak orang bukan Islam,” katanya.
Mengulas mengenai kehadian seorang pemimpin PAS, Hafez Sabri dalam operasi tersebut, Tuan Ibrahim berkata beliau akan menghubugi individu tersebut untuk mendapatkan penjelasan.
Hafez merupakan antara 10 individu yang dilihat memantau pekerja di pasaraya tersebut mengosongkan peti sejuk dan membungkus semula minuman beralkohol itu ke dalam kotak.
Tindakan individu dari NGO JABAT itu mencetus kontroversi apabila rakaman tindakan itu ditulark Facebook.
Sementara itu, Adun Manjoi Asmuni Awi ketika dihubungi juga sependapat dengan Tuan Ibrahim dan menyifatkan tindakan NGO terbabit sebagai memburukkan imej Islam.
Pengerusi Amanah Perak itu berkata, bantahan itu boleh diselesaikan secara berunding dengan pihak pengurusan kedai.
“Mereka berikan pandangan buruk kepada orang Islam kerana ia diselesaikan melalui serbuan dengan tindakan agresif. Sepatutnya melalui nasihat.
“Kita kena ingat, kedai itu dapat lesen cuma dia tak sensitif, tak peka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Decides hari ini.
Beliau mengakui menerima aduan dari penghulu kawasan tersebut yang turut menyatakan akan menghantar surat bantahan kepada pihak pengurusan kedai berkenaan jualan arak.
Asmuni bagaimanapun berkata beliau tidak tahu-menahu tentang rancangan NGO tersebut.
“Serbuan macam ini tak selesaikan masalah. Apa salahnya kalau mereka bertemu secara elok dengan pihak pengurusan nyatakan bantahan dan minta keluarkan minuman itu dalam masa yang tertentu yang saya rasa mereka akan lakukannya.
“Saya minta supaya pihak pekedai macam ni, walaupun mereka itu ada lesen, mereka kena ambil (peduli) persekitaran demografi.
“Jangan hanya kerana mereka ada lesen, maka mereka jual benda yang begitu. Tentulah menimbulkan kemarahan pada orang. Tak sensitif,” katanya. – 27 Mei, 2018.
Komen