BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Asia X Azran Osman Rani cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika mengayuh basikal di Jalan Duta di Kuala Lumpur pagi tadi.
Dalam kejadian 8.55 pagi itu, Azran, 47, dilanggar kereta Proton Wira yang dipandu pelajar berusia 20 tahun, lapor Berita Harian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit pada mulanya berada di lorong kiri menghala ke Jalan Kuching ingin mengubah haluan masuk ke susur kiri menghala ke Damansara.
Kereta tersebut melanggar Azran dari belakang menyebabkan beliau tercampak di atas kenderaan itu sebelum jatuh di atas jalan raya.
Zulkefly berkata Azran cedera di kepala dan tangan kiri sementara pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bekas CEO iflix Malaysia itu dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Azran kini merupakan ketua syarikat Naluri Hidup Sdn Bhd. – 27 Mei, 2018.
Komen