PENGUSAHA perladangan menjangka akan mengalami kerugian pendapatan lebih RM90 bilion dari hasil eksport sekiranya kerajaan membekukan kemasukan pekerja asing secara tiba-tiba.
Pengarah Eksekutif Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) Mohamad Audong berkata pembekuan itu juga akan menjejaskan syarikat perladangan berkaitan kerajaan.
“Sekiranya tiada pekerja asing, sektor perladangan akan diabaikan. Oleh itu ia akan menyebabkan kehilangan lebih dari RM90 bilion dari jumlah pendapatan eksport.
“Syarikat perladangan berkaitan kerajaan pula kemungkinan akan ditutup. Syarikat kecil (perladangan) juga akan terjejas teruk,” katanya.
Mohamad mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang mahu mengkaji semula perjanjian bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh.
Mohamad menegaskan, negara amat memerlukan pekerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam bidang itu.
“Menteri baharu harus faham yang rakyat Malaysia tak berminat dengan perladangan dan pekerja asing amat diperlukan.
“Dan ia akan memudaratkan tanaman mudah rosak kita sekiranya berlaku pembekuan kemasukan pekerja asing ini secara tiba-tiba,” katanya kepada Malaysia Decides.
Katanya, setakat ini sekitar 80% hingga 90% pekerja perladangan terdiri daripada pekerja asing yang datang dari Bangladesh dan Indonesia.
Kemasukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh itu telahpun dijalankan secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun sejak tahun lalu.
Kerajaan BN sebelum ini menyebut, pekerja tersebut akan dimasukkan ke sektor perladangan dan pembinaan.
Majikan perlu labur dalam teknologi, tenaga mahir
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata jumlah 1.78 juta pekerja asing yang sah di negara ini sudah dikira mencukupi setakat ini.
Katanya, langkah sama ada untuk meneruskan kemasukan pekerja asing yang baru sewajarnya dilihat semula memandangkan kerana bimbang akan membawa masalah kepada negara.
“Kita (Malaysia) banyak pekerja asing yang tak sah berada di Malaysia dan mereka itu harus ditangani dengan segera terutamanya mengenai status mereka – sama ada mereka dibenarkan berada di Malaysia ataupun harus dihantar pulang.
“Dan langkah untuk terus membawa masuk pekerja asing baru itu harus dilihat semula sama ada ia memenuhi kehendak kita ataupun sebenarnya akan menambahkan lagi masalah kepada negara kita,” kata Shamsuddin.
Beliau berkata majikan juga perlu melabur dalam bidang teknologi dan tenaga kerja mahir untuk meningkatkan produktiviti.
“Dengan adanya pekerja yang disijilkan kemahiran dan adanya pelaburan dalam automasi dan jentera yang lebih baik, produktiviti akan dapat ditingkatkan,” katanya.
Bagaimanapun, golongan pengusaha ladang ini berkata mereka masih perlu bergantung kepada tenaga buruh melalui penemuan peralatan tekonologi yang terbaik.
“Walau banyak menggunakan mesin, kami (sektor perladangan) masih memerlukan tenaga buruh untuk menuai buah dan menoreh getah.
“Pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan adalah disebabkan keperluan dan bukannya pilihan,” kata Mohamad. – 27 Mei, 2018.
Komen