POLIS Selangor menggesa pemimpin akar umbi Umno Jamal Yunos supaya menyerah diri.
Gesaan itu susulan kenyataan Jamal bahawa beliau tidak akan melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata Jamal perlu “serah diri”, lapor Malay Mail.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berdepan tiga pertuduhan - dua atas pertuduhan melakukan pencerobohan dan satu melakukan mudarat awam dengan memecahkan botal arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam pada Oktober tahun lalu.
Jamal menghilangkan diri dari hospital di Ampang pada Jumaat selepas didakwa dengan tiga pertuduhan tersebut. Polis tidak dapat mengesan beliau dan pihak imigresen diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Peguamnya Mohd Imran Tamrin sebelum ini berkata berlaku salah faham kerana beranggapan proses ikat jamin selesai.
Jamal hari ini mengeluarkan kenyataan yang menuduh Pakatan Harapan “melakukan provokasi” dengan “menggunakan PDRM (Polis Diraja Malaysia)” untuk menahan beliau.
“Untuk pengetahuan anda, Jamal Yunus tidak lari, saya cuma perlu masa untuk bertenang,” katanya. – 27 Mei, 2018.
Komen