Mana pergi wang yang dipinjam 1MDB, soal Lim kepada Najib


The Malaysian Insight

SELEPAS berkali-kali dikritik Najib Razak, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memulangkan paku buah keras kepada bekas perdana menteri itu dengan mengajukan beberapa soalan.

Lim antaranya mahu Najib menjelaskan bagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membelanjakan wang yang dipinjamnya.

Menurut Lim, kira-kira AS$8.3 bilion dalam bentuk pelaburan dan pinjaman tidak pernah digunakan untuk tujuan yang sepatutnya.

Daripada terus tenggelam dalam perdebatan sama ada Kementerian Kewangan (MoF) ada menyuntik dana (bail out) untuk 1MDB, Najib seharusnya menjelaskan mengenai beberapa transaksi berikut, kata Lim dalam kenyataan.

“Ke mana perginya AS$1.83 bilion yang dilaburkan bersama Petrosaudi antara 2009 dan 2011?

“Ke mana perginya AS$3.5 bilion yang dipinjam pada 2012 untuk pengambilalihan loji jana kuasa Malaysia?

“Ke mana perginya AS$3 bilion yang dipinjam pada 2013 untuk melabur dalam projek TRX?”

Firma bermasalah milik negara itu, yang dimulakan dan diselia Najib sehingga kekalahannya pada PRU14, menanggung hutang berjumlah hampir RM42 bilion dan sedang disiasat atas kesalahan rasuah oleh enam negara.

Najib sendiri disoal siasat berhubung AS$4.5 bilion yang didakwa diseleweng daripada 1MDB. Beliau menolak sebarang dakwaan salah laku.

Dalam kenyataan hari ini, Lim menepis dakwaan Najib bahawa MoF tidak menyuntik dana kepada 1MDB walaupun kementerian itu membayar sejumlah RM6.98 bilion bagi melangsaikan sebahagian hutang firma terbabit.

Najib berkata kementerian terpaksa membayar hutang tersebut kerana MoF telah mengambil alih aset 1MDB termasuk TRX dan Bandar Malaysia.

Lim menegaskan bayaran tersebut adalah suntikan dana terbesar yang pernah dibuat kerajaan dan dana RM6.98 bilion itu tidak digunakan untuk membayar pembayaran melibatkan dua aset berkenaan.

Bayaran tersebut digunakan untuk membayar:

*Kupon faedah RM5 bilion untuk bon 30 tahun yang diterbitkan pada tahun 2009. Yang digunakan untuk pelaburan tidak berjaya 1MDB dengan PetroSaudi International Limited.

*Kupon faedah untuk bon 10 tahun bernilai AS$3.5 bilion yang diterbitkan pada Mei dan Oktober 2012. Ini bertujuan untuk pengambilalihan aset loji janakuasa. Aset-aset ini telah dilupuskan dan hasilnya digunakan tetapi bon kekal tertunggak dalam 1MDB.

*Kupon faedah untuk bon 10 tahun yang bernilai AS$3 bilion yang diterbitkan pada Mac 2013. Walaupun dana itu bertujuan untuk pembangunan TRX, Ketua Audit Negara memaklumkan bahawa dana itu tidak pernah digunakan untuk membiayai projek itu.

MoF, kata Lim, akan terus bekerjasama dengan jawatankuasa khas 1MDB bagi mengembalikan semula sebanyak mungkin dana yang dicuri.

“Ia akan menutup hutang dan defisit yang diwujudkan kerajaan Najib, dan akan menghukum pihak yang bertanggungjawab terhadap skandal rasuah paling buruk dalam sejarah Malaysia,” katanya. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen