Hentikan kerja-kerja pembinaan di Taman Rimba Kiara, kata Hannah Yeoh


The Malaysian Insight

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menghentikan kerja-kerja pembinaan di Taman Rimba Kiara (TRK) sementara menunggu semakan kehakiman, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Cadangan pembangunan tanah TRK, yang diluluskan pada November tahun lalu, melibatkan pembinaan enam blok pangsapuri mewah 42 atau 52 tingkat dan satu blok perumahan mampu milik 30 tingkat.

Persatuan Penduduk Save Taman Rimba Kiara membantah pembangunan tersebut, sekali gus mengheret pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd dan DBKL ke mahkamah.

“Buat masa sekarang, saya minta Datuk Bandar (Mohd Amin Nordin Abd Aziz) pastikan pembangunan ini KIV (simpan dalam perhatian),” kata Yeoh selepas melancarkan sebuah majlis di ibu kota bersama-sama Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

“Tiada kerja-kerja harus dijalankan sehingga semakan kehakiman diputuskan di mahkamah pada Jun.”

Semakan kehakiman itu memohon pembatalan arahan pembangunan oleh DBKL kepada Memang Perkasa. Tarikh pendengaran untuk semakan kehakiman itu ditetapkan pada 13 Jun dan didengar hakim Nordin Hassan.

Yeoh pada 16 Mei, melaporkan pemilik tanah Yayasan Wilayah Persekutuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembangunan di TRK. Yayasan itu dipengerusikan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.

“SPRM mengesahkan bahawa mereka menerima laporan kami dan sedang menyiasat. Kami bimbang kehijauan Kuala Lumpur dimusnahkan,” kata Yeoh.

Sementara itu, Lim mendesak agar lembaga penasihat DBKL meletak jawatan.

“Rakyat sudah bersuara. Lembaga penasihat DBKL dan Dewan Negara, mereka adalah 100% lantikan politik. Tak kira MCA, Gerakan.

“Rakyat sudah bersuara pada pilihan raya 9 Mei. Mereka patut tahu apa yang harus dilakukan. Mereka harus lakukan perkara yang betul,” kata Lim.  – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen