Minat golongan muda sertai kerajaan petanda baik, kata Hannah Yeoh


The Malaysian Insight

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) menerima banyak permohonan daripada golongan muda dan profesional yang sedia untuk membantu “membangunkan semula” negara, kata wakil rakyat.

“Saya terima banyak email daripada golongan muda. Dalam dua pilihan raya lepas, tidak seperti ini,” kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang pertama kali bertanding pilihan raya pada 2008.

“Banyak email. Bukan sahaja saya. Ramai wakil rakyat lain menerimanya,” katanya kepada pemberita pada majlis ucapan terima kasih yang dianjurkan pengundi di Segambut, Kepong, Batu di Tokong How Lim Kong di Kuala Lumpur, hari ini.

Kesemua kerusi itu dimenangi PH, yang mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan Pusat pasca PRU14.

Yeoh, yang merupakan bekas speaker Selangor, menyifatkan jumlah permohonan yang tinggi daripada golongan muda sebagai “trend yang amat sihat”.

“Ramai golongan muda email kami resume mereka dan berkata, ‘Kami mahu sertai perkhidmatan awam. Kami mahu bekerja untuk kerajaan’.

“Mereka rasa mereka mahu bekerja dalam perkhidmatan awam. Mereka mahu berbakti kepada negara. Saya fikir ia adalah perkembangan yang sihat untuk generasi akan datang.

Yeoh berkata ia berbeza dengan gambaran stereotaip golongan muda: “Sebelum ini tidak ada siapa yang mahu bekerja untuk kerajaan kerana mereka rasa tiada peluang naik pangkat. Jika mereka bekerja dengan bagus, mereka mungkin ditekan lebih lagi. Tetapi kini mereka mempunyai pandangan yang berbeza terhadap kerajaan.”

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, yang turut hadir hari ini, berkata beliau turut menerima banyak resume dan cadangan daripada golongan profesional.

“Mereka adalah golongan profesional yang berjaya. Mereka sanggup bekerja untuk kerajaan secara percuma kerana mereka mahu jadi sebahagian dalam proses pembinaan semula.”

“Mereka mahu menjadi sebahagian daripada sejarah yang sedang dilakar. Tidak pernah sekalipun mereka bayangkan yang pertukaran kerajaan akan berlaku.”

Bagaimanpun, Yeoh berkata tawaran pekerjaan bergantung kepada “ kekosongan”.

“Kami akan teliti kekosongan dan kesesuaian. Apa yang menggalakkan adalah mereka rasa mereka mahu memohon untuk bekerja dengan kerajaan.” – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen