RAKYAT Malaysia yang menyatakan kesanggupan untuk menderma untuk mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion diberitahu supaya menunggu pengumuman rasmi dari Putrajaya.
Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dibanjiri panggilan telefon dari pengundi yang menawarkan bantuan juga diberi amaran supaya berhati-hati dengan penipuan.
“Sekiranya sesiapa ternampak secara online, orang yang meminta wang bagi pihak kerajaan, diminta jangan beri respons. Tunggu pengumuman rasmi dari Kabinet,” kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Bercakap kepada wartawan selepas majlis kesyukuran PH di kuil How Lim Kong di Kuala Lumpur hari ini, bekas speaker Selangor itu berkata beliau terharu dengan apabila yang mahu membantu mengurangkan hutang negara.
“Kami sudah maklumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa ramai yang mahu menderma untuk bantu kurangkan hutang negara,” katanya.
“Kami telah sampaikan kepada Kabinet untuk melihat bagaimana mereka (rakyat) boleh bantu kerana semua orang mahu mainkan peranan.
“Ini sebenarnya sangat bagus kerana rakyat Malaysia bertanggungjawab ke atas negara mereka sekali lagi. Dahulu, semua orang menyalahkan sesama sendiri kemudian melarikan diri.”
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pula berkata beliau ditanya oleh para penjaja dan peniaga bagaimana mereka boleh membantu.
“Saya baru saja terima satu panggilan dari Persatuan Peniaga Taman Tun. Mereka mahu menderma kepada negara untuk membayar hutang, jadi mereka tanya saya bagaimana caranya,” kata Lim.
Yeoh berkata ahli-ahli Parlimen PH tidak dapat menguruskan sebarang derma buat masa ini.
“Kami sedang menunggu untuk mengangkat sumpah yang akan diadakan pada penghujung Jun. Sehingga kami mengangkat sumpah, kami tidak boleh menandatangani sebarang borang.
“Bagaimanapun, ada banyak cara lain untuk bantu kerajaan. Jika anda mempunyai saman atau belum membayar cukai, sila jelaskan.”
“Selalsa lalu, Guan Eng mengesahkan hutang negara adalah melebihi RM1 trilion.
Guan Eng juga menambah beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan menyelamatkan 1MDB dengan membayar hutang firma itu sebanyak RM6.98 bilion sejak 2017. – 27 Mei, 2018.
Komen