Saya tak mahu jadi menteri kewangan jika dipilih berdasarkan kaum, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

LIM Guan Eng menegaskan bahawa beliau enggan menerima jawatan menteri kewangan jika lantikan itu dibuat berdasarkan kaum.

Katanya, beliau dipilih oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana pengalamannya yang luas dalam mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Saya tidak mahu jadi menteri kewangan jika saya dipilih kerana saya orang Cina. Saya orang Malaysia, bukan orang Cina. Kamu mesti memilih saya atas dasar kebolehan.

“Ia tugas yang berat tetapi seperti yang dikatakan Tun Dr Mahathir hari ini, beliau pilih saya kerana kemampuan saya membangunkan Pulau Pinang, beliau melihat prestasi kewangan baik di Pulau Pinang dan kami telah merekodkan keuntungan tahunan. Itu sebabnya beliau mahu orang terbaik untuk menyelamatkan negara,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama DAP Air Putih sebagai tanda menghargai sumbangan dan sokongan mereka.

Kenyataan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP itu dilaporkan di laman Facebook miliknya.

Lim merupakan ketua menteri Pulau Pinang selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Pelantikan ahli Parlimen Bagan itu sebagai menteri kewangan adalah yang pertama dalam tempoh jangka masa lama untuk seorang ahli politik berketurunan Cina sejak 1974 ketika presiden MCA menyandang jawatan itu.

Namun Lim memberitahu media selepas dinamakan sebagai menteri kewangan bahawa beliau menganggap dirinya sebagai orang Malaysia dan bukan orang Cina. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen