Peniaga wajib turunkan barang bila GST 0%, kata kastam


The Malaysian Insight

KERAJAAN memberi amaran kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga selepas kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun.

Ketua pengarah kastam Subromaniam Tholasy menegaskan, kesemua peniaga perlu menetapkan harga lebih rendah susulan penguatkuasaan tersebut.

“Semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Peniaga-peniaga dikehendaki manyalurkan penjimatan daripada kadar standard 6% kepada kadar sifar (0%) kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih rendah.

“Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” kata Subromaniam dalam kenyataanya hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) juga tidak dikuatkuasakan pada tarikh 1 Jun.

“Oleh yang demikian, semua peniaga hendaklah melaksanakan penurunan harga barang dan perkhidmatan berikutan barang dan perkhidmatan yang dikenakan pada kadar 6% akan disifarkan mulai 1 Jun 2018,” katanya. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen