Najib silap, pembayar cukai memang 'bail out' 1MDB, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng menegaskan pembayar cukai memang meyelamatkan “bail out” 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berbeza dengan apa yang didakwa oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Lim hari ini menyangkal dakwaan Najib bahawa hutang 1MDB yang dibayar oleh Kementerian Kewangan tidak boleh dipanggil “bail out” kerana kerajaan telah mengambil alih aset firma itu.

Pembayaran hutang tersebut masih sama seperti ‘bail out’ kerana kementerian mengambil alih aset-aset 1MDB untuk dibangunkan adalah liabiliti.

Lim turut menjelaskan bagaimana kira-kira RM7 bilion yang setakat ini telah dibayar bagi pihak 1MDB adalah berkaitan dengan pinjaman yang langsung tiada kaitan dengan aset-aset yang diambil alih kementerian.

Aset-aset itu ialah projek hartanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia yang dimulakan oleh 1MDB - cetusan idea Najib.

“Oleh sebab itu, label pembayaran RM6.98 billion yang dibuat Kementerian Kewangan bagi pihak 1MDB sebagai ‘bailout’ adalah cukup tepat. Malah ia merupakan ‘bailout’ terbesar dalam
sejarah Malaysia,” kata Lim dalam kenyataan tersebut.

1MDB telah disiasat atas dakwaan rasuah dan penggubahan wang haram di enam negara iaitu bagaimana dana disalurkan dari firma itu ke dalam akaun bank inidividu-individu yang dipercayai ada kaitan dengan Najib.

Najib yang mengetuai lembaga penasihat 1MDB telah disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan ini. Beliau tetap bertegas tidak melakukan sebarang kesalahan.

Jumaat lalu, Najib berkata 1MDB memindahkan aset-asetnya ke Kementerian Kewangan dan kerajaan membayar hutang 1MDB sebagai balasan.

Beliau berkata 1MDB boleh membangunkan aset-aset tersebut dan membayar hutangnya sendiri jika tidak dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Lim menyangkal dakwaan Najib dengan berkata RM6.98 bilion yang setakat ini telah dibayar oleh kementerian bagi pihak 1MDB adalah bayaran faedah bagi empat bon, di mana tiga darinya langsung tiada kaitan dengan aset-aset berkenaan. Semua pembayaran itu ialah untuk:

* Membayar faedah kupon bon 30-tahun bernilai RM5 bilion yang diterbitkan pada 2009. Wang ini telah dilaburkan oleh 1MDB kepada PetroSaudi International Ltd yang akhirnya gagal.

* Membayar faedah kupon bon-bon 10-tahun berjumlah AS$3.5 bilion yang diterbitkan pada Mei dan Oktober 2012, yang bertujuan untuk membiayai pembelian loji-loji penaja kuasa. Aset-aset ini sudah dijual dan hasil jualan tersebut telah digunakan sepenuhnya. Tetapi, bon ini masih lagi terhutang dalam syarikat.

* Membayar faedah kupon kepada bon 10-tahun AS$3 bilion yang diterbitkan pada bulan Mac 201, yang bertujuan untuk membiayai pembangunan TRX. Ketua Audit Negara melaporkan hasil terbitan bon tersebut tidak langsung digunakan untuk pembangunan TRX.

* Membayar balik sepenuhnya pendahuluan AS$1.2 bilion daripada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC). Pendahuluan ini diterima pada April 2015 untuk membayar hutang US$975 juta yang diberikan oleh konsortium Deutsche Bank.

“Maka, mengapa sebarang pulangan daripada projek-projek hartanah – yang asalnya dibeli pada harga yang sangat rendah – patut digunakan untuk menutup dan membayar balik segala pinjaman-pinjaman yang tidak berkaitan di atas?” soal Lim.

Selain daripada pembayaran di atas, Lim berkata Kementerian Kewangan juga turut membuat bayaran lain untuk, atau bagi pihak 1MDB yang berkaitan dengan TRX dan Bandar Malaysia iaitu:

* Melalui anak syarikat milik penuhnya Aroma Teraju Sdn Bhd, telah membeli sebidang 2.3 ekar tanah daripada TRX City Sdn Bhd pada September 2015 pada harga RM250 juta.

* Mengembalikan wang deposit RM741 juta untuk pihak 1MDB kepada satu konsortium yang diketuai Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) selepas penjanjian jual beli Bandar Malaysia dibatalkan pada Mei 2017. 

“Ini kerana 1MDB telah habis menggunakan deposit yang telah dibayar oleh IWH, dan tidak mampu memulangkan deposit tersebut,” kata Lim.

Beliau kemudian menyangkal lagi dakwaan Najib bahawa pembayaran hutang 1MDB adalah pampasan kerana mengambil alih aset firma.

“Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa Kementerian Kewangan tidak mengambil alih aset-aset ini secara percuma.”

Pengambilalihan TRX City Sdn Bhd termasuk mengambil alih pinjaman syarikat bernilai RM800 juta
yang diambil daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan matang pada 2020.

Begitu juga pengambilalihan Bandar Malaysia juga yang berserta pinjaman sukuk bernilai RM2.4 bilion.

“Laporan Ketua Audit Negara juga telah mengesahkan bahawa pinjaman dan sukuk tersebut tidak digunakan untuk tujuan yang ditetapkan, iaitu untuk membangunkan TRX dan Bandar Malaysia. 

“Maka, 1MDB tidak layak meminta apa-apa pampasan daripada Kementerian Kewangan. Sebaliknya pihak kementerianlah yang sepatutnya membuat tuntutan pampasan daripada 1MDB untuk menanggung bayaran hutang-hutang di atas.”

Tambah Lim, tanah-tanah bagi kedua-dua projek itu pada asalnya dijual oleh kerajaan kepada 1MDB pada harga yang amat rendah antara 2010 dan 2012.

70 ekar tanah TRX dijual kepada 1MDB pada harga RM230 juta (sekitar RM74 kaki persegi) manakala 486 ekar tanah Bandar Malaysia dijual kepada 1MDB pada harga RM1.6 bilion (sekitar RM72 kaki persegi).

Malah, walaupun kementerian membayar hutang 1MDB, firma itu membuat keuntungan melampau daripada penjualan dua tanah TRX kepada entiti berkaitan kerajaan, kata Lim.

1.57 ekar dijual kepada Lembaga Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta (sekitar RM2,750 kaki persegi) pada April 2015 manakala 1.25 ekar dijual kepada Affin Bank, anak syarikat Lembaga
Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada harga RM255 juta (sekitar RM4,680 kaki persegi) pada Ogos 2015. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen