Gobind akan kaji kebocoran data, kejadian ketika PRU14


The Malaysian Insight

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh berjanji akan menyiasat kejadian melibatkan kementeriannya di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Beliau telah meminta laporan mengenai kebocoran data, serangan BOT telefon bimbit pada hari mengundi pada 9 Mei dan arahan sekatan beberapa portal online pada malam hari yang sama.

“Selain itu, semakan semula terhadap beberapa peruntukan tertentu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dilakukan, dan cadangan pindaan akan turut dipertimbangkan,” kata Gobind melalui satu kenyataan hari ini.

Gobind juga berkata akan bekerjasama dengan Lawyers for Liberty dan Majlis Peguam untuk mengkaji semula akta tersebut.

Kebocoran data kali pertama dikesan pada Oktober 2017 melibatkan 46 juta pelanggan telefon bimbit dan kali kedua pada Januari tahun ini melibatkan 200,000 penderma organ. Kedua-keduanya dikesan oleh forum online lowyat.net.

Serangan BOT melibatkan panggilan telefon misteri kepada telefon bimbit ahli politik pada hari mengundi, menjejaskan komunikasi mereka sehingga menyebabkan beberapa calon pembangkang mengadu mengenai sabotaj terancang itu.

Pada malam 9 Mei, ketika undian dijalankan, laman web seperti live.undi.info yang menyiarkan secara langsung keputusan telah ditapis. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kemudiannya mengaku ia mengeluarkan arahan supaya lama-laman web tersebut disekat.

SKMM berkata ia adalah atas alasan “dakwaan orang ramai” mengenai maklumat tidak tepat dan bimbang kandungannya akan menjejaskan “kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi”.

Tapisan itu menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat mengumumkan BN tewas serta gagal mengekalkan kerajaan Persekutuan. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen