Invoke cadang ramal pilihan raya Singapura, Thailand, kata Rafizi


The Malaysian Insight

INVOKE Malaysia mahu menjadi antara syarikat data besar di Asia yang membuat ramalan pilihan raya di rantau ini, kata pengasasnya Rafizi Ramli.

Beliau berkata firma analisis itu mahu menawarkan perkhidmatan kepada Thailand dan Singapura selepas berjaya meramal keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

“Invoke ada banyak pengetahuan dan kebolehan untuk komersil. Ramai orang ia hanya propaganda (pada mulanya). Saya harap sekarang mereka faham bahawa apabila kami menyebut data, kami menguruskan data raya.

“Dalam dunia perniagaan dan komersil, data raya ialah satu perkara yang besar dan masa depan. Saya rasa Invoke jauh ke depan apabila dibandingkan dengan pesaing lain dalam negara,” kata Rafizi dalam satu temu bual dengan Malaysia Decides.

Naib Presiden PKR itu memulakan Invoke pada 2016 menggunakan duit sendiri sebelum mendapat dana awam yang cukup.

Menjelang PRU14, Invoke membuat tinjauan melalui telefon menggunakan sistem “voice response”. Ia juga mempunyai ribuan sukarelawan yang dilatih sebagai ejen pungutan undi dan ejen pengiraan serta mengadakan kempen merayu undi melalui telefon dan dari pintu ke pintu.

Rafizi berkata Invoke kini akan menawarkan perkhidmatan seperti perlombongan data, tinjauan dan penyelidikan pasaran kepada organisasi dan syarikat.

“Kami meramal secara adil dan tepat bagaimana 14 juta orang akan mengundi. Jika kami boleh meramal soalan yang paling suakr, mudah bagi kami untuk meramal siapa yang akan membeli dan warna apa.”

Pada PRU14, Rafizi berkata Invoke memberi tumpuan kepada kerusi marginal di Semenanjung Malaysia di mana Pakatan Harapan (PH) menang 42 daripada 44 kerusi marginal yang dipertandingkan.

“Anda tak boleh sasar Putrajaya kerana tahu ada 30 kerusi yang akan menjadi penentu. Tetapi 30 kerusi itu dianggap seperti kerusi-kerusi lain.

“Anda sepatutnya tumpukan perhatian pada kerusi-kerusi ini lebih daripada kerusi lain. Ituah yang lakukan sepanjang dua tahun yang lepas, memberi tumpuan kepada 44 kerusi berkanaan,” katanya.

PH menang PRU14 dengan 122 kerusi daripada 222 kerusi di Parlimen seklaigus menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang hanya menang 79 kerusi.

Rafizi menegaskan Invoke adalah bebas meskipun mempunyai hubungan dengan PKR kerana beliau adalah Naib Presiden parti itu. Juga ditegaskan ialah Invoke tidak akan berfungsi jika ia berat sebelah kepada parti tertentu. 

Katanya, Invoke perlu bebas daripada kecenderungan politik jika mahu menjadi penganalisis data yang berjaya.

“Ia tak akan berfungsi jika ia sebahagian daripada PKR. Saya sedar, rakyat tak suka parti politik. Lebih mudah mendapatkan tarikan dengan saya sebagai individu berbanding parti politik.”

Bekas ahli Parlimen Pandan itu tidak bertanding dalam PRU14 kerana kes mahkamah yang belum selesai berhubung kebocoran akaun bank dalam pendedahannya mengenai rasuah National Feedlot Corporation.

Rafizi berkata beliau tidak bercadang untuk terlibat semula dalam politik dalam waktu terdekat kerana ingin memberi tumpuan untuk membangunkan Invoke.

Apabila ditanya sama ada namanya berada dalma senarai senator kerajaan PH, beliau segera menolaknya.

“Tidak, saya sudah membuat keputusan. Saya ada tanggungjawab ke atas mereka di sini (di Invoke). Mereka budak baik. Saya kena pastikan mereka ada tempat di sini.

“Kami perlu menghabiskan masa sekurang-kurangnya setahun untuk pastikan Invoke bertahan secara komersil dan mengekalkan semua kemahiran, pengetahuan dan kepakaran.” – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen