PEMIMPIN gerakan baju merah, Jamal Yunos hari ini muncul dengan rayuan di Facebook agar gerakan memburunya dihentikan.
Tanpa menyatakan lokasinya, Jamal yang hilang tanpa khabar berita sejak Jumaat lalu mendakwa beliau tidak melarikan diri dan kini bersama sekumpulan jemaah tabligh.
“Sudah-sudahlah mencari saya walau di mana pun Jamal Yunos berada. Untuk pengetahuan semua.. Jamal Yunos ini tidak akan lari, saya hanya mahu mencari ketenangan dalam diri ini.
“Kini, saya bersama dengan jemaah tabligh untuk beberapa hari di bulan Ramadan ini,” katanya dalam tulisan di Facebook hari ini.
Beliau juga mendakwa pasukan polis kini digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menangkapnya.
“Saya tidak gentar dengan provokasi dari pihak Pakatan Harapan. Menggunakan PDRM untuk menangkap saya adalah satu tindakan yang biadap dan tidak matang.
“Rakyat tahu siapa benar dan siapa yang menjadi tunggangan DAP,” katanya lagi.
Jamal semalam menafikan beliau melarikan diri dari Hospital Ampang Puteri ketika direman, mendakwa ia hanya “salah faham”, lapor Watan Online.
Menurut laporan portal tersebut, peguamnya juga memberi jaminan akan hadir di mahkamah untuk menyelesaikan proses jaminan.
Sejurus sebelum memghilangkan diri Jumaat lalu, pertuduhan mahkamah dijalankan ke atasnya ketika beliau berada di wad hospital di Ampang.
Beliau dituduh melakukan gangguan awam apabila bertindak memecahkan botol minuman keras di depan Bangunan SUK Selangor di Shah Alam dalam satu bantahan terhadap Festival Beer tahun lepas.
Jamal mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM3,000. Selasa lalu, Jamal ditahan polis untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api 1960 kerana menunjuk-nunjukkan pistolnya kepada umum. – 27 Mei, 2018.
Komen