MAJLIS Tertinggi Umno harus mengisytiharkan sama ada jutaan wang tunai yang disita oleh polis dalam siasatan mereka terhadap Najib Razak adalah milik parti, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
Setakat ini, kepimpinan parti mengambil sikap berdiam diri berhubung perkara itu susulan dakwaan yang dikeluarkan tiga hari lalu oleh entiti yang menggelarnya Unit Komunikasi Strategik Umno.
Lim mempersoalkan sama ada unit tersebut adalah betul kerana sebelum ini tidak pernah mendengar mengenainya.
Walaupun Barisan Nasional (BN) berkuasa, satu-satunya suara komunikasi strategik yang diketahui adalah bekas menteri Umno, Abdul Rahman Dahlan yang mengetuai unit itu, tetapi ia untuk gabungan itu.
“Masanya sudah tiba bagi Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat tergempar untuk memutuskan sama ada ia secara rasmi menuntut aset yang disita di Pavilion Residences.
“Adakah Unit Komunikasi Strategik Umno diberitahu untuk mewakili Umno dalam membuat tuntutan terhadap aset yang disita?” kata Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri, dalam satu kenyataan hari ini.
Polis baru-baru ini mengumumkan menyita sebanyak RM114 juta dalam 26 mata wang asing dari unit kondo yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences.
Bekas perdana menteri itu sedang disiasat kerana pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd.
Lim berkata terdapat akibat jika Majlis Tertinggi Umno menyokong tuntutan terhadap dana itu.
Ia perlu menjawab mengapa dana parti disimpan dalam beg pakaian dan diletak dalam kondo, serts tidak disimpan oleh bendahari parti dalam akaun bank.
Ia juga perlu menjawab dari mana wang tunai itu datang, mengapa ia disimpan dalam mata wang yang berbeza dan tujuannya.
“Kenapa wang tunai tidak diletak di bawah kawalan bendahari parti? Mengapa hanya sekarang Umno mendakwa ia miliknya? Kenapa mereka tidak tampil pada masa penyitaan untuk membuat tuntutan serta mendedahkan sebenar jumlahnya?” Kata Lim.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Strategik Umno mendakwa wang itu dana itu diperlukan oleh parti untuk membina semula parti selepas kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Kenyataan itu meminta pihak polis menyerahkan dana kepada parti selepas siasatan selesai.
Bagaimanapun, polis berkata siasatan perlu dilakukan untuk menentukan siapa pemilik sebenar wang itu. – 27 Mei, 2018.
Komen