KOLUMNIS ruangan gosip di Australia, yang dikritik Rosmah Mansor kerana melaporkan perbelanjaan mewahnya di Sydney pada 2012, kini amat lega apabila polis mendedahkan kemewahan melampaunya.
Andrew Hornery, penulis kolum Private Sydney di Sydney Morning Herald berkata apabila tulisannya mengenai perbelanjaan mewah Rosmah sampai ke Malaysia, semuanya menjadi “haru biru”.
Beliau berkata jumlah semua perbelanjaan Rosmah selama bertahun-tahun ialah A$6 bilion.
Kata Hornery, antara barang yang dibeli Rosmah di Sydney ialah pakaian rekaan pereka Australia, Carl Kapp.
“Rosmah ‘sungguh kagum dengan rekaannya (Kapp). Dia kemudiannya melawat Rosmah dan perdana menteri (bekas) Najib Razak di sebuah penthouse mewah yang disewa A$20,000 semalam di hotel The Darling di atas Star Casino,” kata Hornery.
Beliau berkata Najib yang sedang memakai jubah mandi menyambut Kapp dan membayar semuanya secara tunai.
Rosmah juga dipercayai memborong setengah dozen beg tangan Christian Dior di pusat membeli-belah David Jones di Sydney.
Menurut Hornery, organisasi berita lain melaporkan Rosmah membelanjakan A$400,000 untuk produk anti-penuaan termasuk 1590 botol kapsul hormon pertumbuhan.
Hornery berkata Rosmah mendakwa butiran beli-belahnya “diperbesar-besarkan” dan membeli gaun dengan banyak kerana beliau membekalnya untuk sebuah butik di Malaysia.
Kolumnis itu juga berkata blogger dan penyokong media sosial Najib dan Rosmah melancarkan kempen bersepadu untuk menjejaskan namanya.
“Dalam tempoh 24 jam, pengikut Twitter saya meningkat hampir 6,000, semuanya dari Malaysia dan tak semuanya peminat saya.
“Tak lama selepas itu, Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri di Canberaa memanggil saya. Ia terus menjadi masalah diplomatik antarabangsa, walaupun ia kemudiaaanya tersebar dalam beberapa minggu.”
Dalam tempoh selepas itu, Hornery berkata beliau takut untuk ke Malaysia selagi Rosmah menjadi isteri Najib.
Najib dan Rosmah telah dilarang meninggalkan negara kerana disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan jutaan ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi mereka. – 27 Mei, 2018.
Komen