Nik Nazmi gesa Putrajaya mansuh BTN


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan (PH) harus memansuhkan Biro Tata Negara (BTN) kerana ia adalah unit propaganda politik yang menyemai semangat perkauman, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata beliau sendiri pernah menghadiri satu daripada kursus BTN sebagai pelajar dan menurutnya, ia hanya merosakkan rakyat Malaysia kerana menghasut orang Melayu supaya membenci kaum lain.

“Tujuan kem itu seolah-olah untuk menghasut para hadirin Melayu untuk menentang rakyat Malaysia berlainan kaum dan agama, menyerang parti pembangkang dan mengagung-agungkan parti pemerintah pada masa itu,” kata Nik Nazmi menerusi akaun Twitternya.

Beliau menggesa Putrajaya memansuhkan BTN sebagai satu langkah mengurangkan perbelanjaan yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Memandangkan Pakatan Harapan komited kepada agenda reformasi dan sedang memperkenalkan penjimatan di dalam Kerajaan, saya percaya bahawa Biro Tatanegara patut dimansuhkan.”

Ketua Pemuda PKR itu juga meminta supaya penjawat awam dalam BTN diletakkan di jabatan-jabatan lain kerajaan selepas ia dimasuhkan.

Menurut laman web rasminya, BTN menerangkan yang ia adalah organisasi kerajaan yang ditubuhkan pada 1974 di bawah Program Belia dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1982.

Ketika ini, BTN mempunyai 14 cawangan dan 17 kem di seluruh negara.

Pada 2015, slaid BTN yang bocor menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana ia bersifat perkauman dan memberi gambaran yang baik mengenai BN.

Antara tema slaid itu termasuk menyemai semangat perkauman untuk “tujuan yang baik”, menyalahkan penerbit buku bebas sebagai dalang kepada gerakan anti penubuhan dan menggambarkan parti pembangkang adalah rasis dan radikal. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen