BN Perlis tetap mahu Azlan Man letak jawatan


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional (BN) Perlis tidak berganjak dengan keputusan untuk mendesak Menteri Besar Azlan Man meletak jawatan bagi menamatkan krisis pelantikan jawatan tersebut.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang Ismail Kassim, satu-satunya cara untuk menyelesaikan kebuntuan berkenaan dengan memilih menteri besar dari kalangan lapan wakil rakyat BN lain, selain beliau dan juga Azlan.

“Kita akan tetap dengan pendirian, tidak akan berganjak selagi Azlan tidak letak jawatan.

“Itu syarat kita, beliau kena letak jawatan, dan saya pun tidak akan jadi menteri besar,” katanya yang juga adik kepada bekas menteri Shahidan Kassim ketika dihubungi Malaysia Decides.

Pada masa sama, Ismail turut mempertahankan tindakan beliau dan lapan wakil rakyat BN memulaukan upacara mengangkat sumpah jawatan Azlan pada Khamis lalu.

Tindakannya itu menimbulkan kemurkaaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang bertitah baginda enggan melantik Ismail kerana bimbang menteri besar Perlis menjadi boneka kepada Shahidan.

Turut mengeruhkan lagi keadaan, Shahidan membuat sidang tergempar mencadangkan Azlan dipecat pada hari sama menteri besar itu mengangkat sumpah.

Namun, cadangan itu ditolak pemimpin tertinggi Umno yang menyatakan kuasa memecat tidak ada pada Umno Perlis, dan Azlan seterusnya memulakan tugas sebagai menteri besar pada hari Jumaat.

Buntu dengan perkembangan tersebut, lapan orang wakil rakyat tersebut seterusnya membuat laporan polis mendakwa tindakan menteri besar tidak selari dengan pendirian BN negeri.

Mengulas lanjut, Ismail menegaskan tindakan kumpulan wakil rakyat yang setia kepada Shahidan itu bukanlah satu penderhakaan.

“Sebenarnya saya tak derhaka, kita tidak berniat (menderhaka kepada Raja Perlis) cuma seperti saya katakan, apabila pelantikan dibuat, atas dasar apa? Bagaimana dengan petunjuk prestasi utama (KPI) menteri besar?”

Namun, beliau mengharapkan agar krisis politik di Perlis tidak sampai ke tahap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang kedudukan BN akan terancam. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen