Azlan Man minta kami sokong, kata Pakatan Perlis


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan (PH) Perlis mendakwa menteri besar yang baru dilantik, Azlan Man pernah meminta sokongan mereka ekoran kebuntuan yang melanda Barisan Nasional (BN) di negeri itu untuk membentuk kerajaan.

Timbalan Pengerusi PH Perlis, Mohammad Faisol Abdul Rahman berkata, ia memandangkan calon BN dalam Azlan banyak tewas dalam pilihan raya 9 Mei.

“Selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke014 (PRU14), beliau berjumpa dengan saya minta sokongan PH katanya demi rakyat.

“Tapi kita tak bagi apa keputusan lagi. Kita tak kata tak sokong kita kata tunggu dan lihat,” kata Faisol kepada Malaysia Decides.

Katanya, keadaan pada waktu ini serupa seperti yang berlaku selepas pilihan raya 2008.

Menurutnya pada ketika itu wujud gerakan membabitkan majoriti sekumpulan Adun Perlis untuk menggantikan Shahidan yang menjawat kedudukan menteri besar selama tiga penggal sejak 1995.

“Sejarah krisis politik BN di Perlis berlaku dalam 10 tahun 20 tahun lalu. Umno Perlis dikuasai kem Shahidan.

“Mereka melihat banyak nepotisme berlaku, (dengan) melantik kroni sendiri (ke jawatan utama). Kerana itu timbul tidak puas hati pada akar umbi dan ia ditentang sebahagian Adun (BN),” katanya.

Pertembungan dua kem dalam krisis pelantikan menteri besar tersebut berlanjutan selama dua minggu selepas pilihan raya umum 2008, sehinggalah Md Isa Sabu dipilih untuk menjawat jawatan itu bagi menggantikan Shahidan.

“Pada PRU14 ini juga ada dua kem, satu kem Azlan dan kem Shahidan.

“Bagaimanapun kem Azlan banyak yang kalah dalam PRU14 yang menyebabkan Azlan keseorangan tanpa sokongan majoriti,” kata Faisol.

Azlan telahpun memulakan tugas sebagai menteri besar pada Jumaat lalu namun masih belum dapat membentuk kerajaan kerana tidak dapat melantik anggota exco.

Lapan orang wakil rakyat BN juga membuat laporan polis mendakwa tindakan menteri besar tidak selari dengan pendirian BN negeri. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen