AKHBAR Utusan milik Umno meminta Shahidan Kassim menghentikan drama politik sebaliknya menerima keputusan Raja Perlis melantik Azlan Man sebagai menteri besar negeri itu.
Dalam ruangan pojok di Mingguan Malaysia, Awang Selamat menulis tindakan Shahidan dan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memulaukan majlis istiadat angkat sumpah di Istana Arau, Khamis lalu, tidak wajar dan hanya mengundang kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Akurlah keputusan yang telah dibuat oleh Raja Perlis dan pelantikan Adun Bintong, Azlan adalah sah dari segi perundangan.
“Sempena Ramadan ini, bertautlah dan lihat ke hadapan, buang yang keruh ambil yang jernih,” kata penulis pojok yang mewakili suara Utusan itu.
Awang Selamat turut menggesa Shahidan, yang juga ahli Parlimen Arau, menerima hakikat dan meneruskan khidmat kepada rakyat.
“Shahidan harus berjiwa besar termasuk menerima hakikat calon yang juga adik beliau, Ismail Kassim tidak diperkenankan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.
“Jangan sampai kejayaan BN di Perlis pada ketika kalah di pusat dan negeri, mengundang rasa meluat rakyat,” katanya lagi.
Azlan, 60, mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Raja Perlis tanpa kehadiran sembilan Adun BN yang sebaliknya berhimpun di Kuala Lumpur.
Tidak sampai tiga jam selepas majlis angkat sumpah di Arau itu, Shahidan mengumumkan cadangan Umno Perlis supaya Azlan dipecat daripada parti dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. – 27 Mei, 2018.
Komen