NAJIB Razak menyemai benih kejatuhan Barisan Nasional (BN) dengan tindakan “pembersihan” pada Julai 2015, laporan Straits Times.
Akhbar Singapura itu memaparkan semula peristiwa pada minggu terakhir Julai tahun itu, yang menyaksikan bagaimana Najib dilihat begitu tergesa-gesa dalam cubaan menepis “badai” yang sedang diterimanya susulan penyiasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Perancangan diatur dengan matlamat utama mensasarkan kepada Najib dan memaksa beliau untuk meletakkan jawatan,” kata seorang pembantu kanan di kem Najib memberitahu akhbar itu.
Khabar angin mengatakan institusi diraja dan Umno membiarkan Najib, kata ST.
Rentetan peristiwa bermula dengan Wall Street Journal mendedahkan berita mengenai penyiasat Malaysia mencari bukti berhubung aliran wang daripada 1MDB ke akaun peribadi Najib.
Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan terhadap dakwaan itu, dan mengecam Najib secara terbuka, ketika itu Peguam Negara Abdul Gani Patail mengesahkan aliran wang itu disiasat oleh pasukan khas yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara dan polis.
Saksi utama adalah ahli perniagaan Rosman Abdullah. Beliau dijemput oleh pasukan petugas pada 22 Julai dengan harapan mendapat pengakuan untuk menutup kes terhadap Najib.
Apabila diberitahu oleh pegawai risikan yang bukti mengenai Rosman sedang dikumpul, Najib mengarahkan Ahmad Zahid Hamidi memastikan ahli perniagaan itu tidak dapat dikesan oleh pasukan petugas. Polis kemudian menyembunyikan Rosman di sebuah rumah selamat pada 24 Julai, dan kes terhadap Najib itu tidak berjaya.
Najib ketika itu bergerak pantas membersihkan musuhnya dalam kerajaan, memecat Gani dan Muhyiddin pada hari yang sama minggu berikutnya. Beberapa pegawai dalam perkhidmatan awam juga ditukar jawatan atau dipaksa bersara.
Sejak kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya, Muhyiddin kembali ke dalam kerajaan, Gani dianggap sebagai pendakwa jika dakwaan difailkan terhadap Najib dan beberapa penjawat awam dikembalikan semula kepada jawatan mereka. – 27 Mei, 2018.
Komen