PEMIMPIN gerakan baju merah, Jamal Yunos menafikan beliau melarikan diri dari Hospital Ampang Puteri ketika direman, mendakwa ia hanya “salah faham”, lapor Watan Online.
Beliau memberitahu portal itu yang beliau menyangka remannya berakhir jam 2 petang pada Jumaat, dan meninggalkan hospital untuk mengambil wang bagi membayar ikat jaminnya.
“Bagi saya perkara ini adalah salah faham kerana menganggap proses ini telah selesai tetapi ada beberapa dokumen selepas jaminan yang saya tidak tanda tangani.
“Saya tetap akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.”
Jamal berkata beliau terkejut kerana didapat melarikan diri daripada polis.
Peguamnya, Mohd Imran Tamrin mengesahkan Jamal keluar selepas pihak hospital memberikan kebenaran.
Imran menambah Jamal masih dalam proses pemulihan daripada sakit belakang tetapi menegaskan anak guamnya akan hadir di mahkamah untuk menyelesaikan proses jaminan.
“Beliau tidak melarikan diri. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia memberikan kerjasama sewajarnya,” kata Imran sambil menambah kejadian itu “dieksplotasi dengan tanggapan negatif” oleh pengkritik Jamal.
Pada pagi Jumaat, Jamal didakwa melakukan gangguan awam apabila bertindak memecahkan botol minuman keras di depan Bangunan SUK Selangor di Shah Alam dalam satu bantahan terhadap Festival Beer tahun lepas.
Jamal mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM3,000. Selasa lalu, Jamal ditahan polis untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api 1960 kerana menunjuk-nunjukkan pistolnya kepada umum. – 27 Mei, 2018.
Komen