PAS perlu merancang dari sekarang ke mana hala tuju parti itu lima tahun lagi, apakah mahu bersama dengan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau kekal bersendirian seperti sekarang.
Dalam menentukan hala tujunya itu, PAS mesti berbincang secara terus terang dan telus dengan ahli-ahli dalam muktamar dan mendapat mandat mereka dalam membuat keputusan, kata pengkaji politik dari Ilham Center, Hisommudin Bakar.
“Jika PAS berbincang secara terbuka dalam muktamar, ia akan memudahkan setiap ahli parti itu menjalankan tugas masing-masing untuk membawa PAS ke mercu kejayaan,” kata Hisommudin.
Jelas beliau, kalau PAS mahu berada dalam arena politik kebangsaan, parti itu tidak boleh terperosok di kawasan Melayu sahaja tetapi perlu juga diterima di kawasan etnik lain.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man secara terbuka menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dan menjadi rakan dialog dengan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
“Sejajar dengan konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan yang baik antara kerajaan pusat dan negeri, PAS akan meneruskan kerjasama yang baik dengan kerajaan pusat yang kini diterajui PH.
“Malah lebih dari itu, PAS bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep ta’awun siyasi,” kata Tuan Ibrahim.
Kenyataan positif terhadap PH itu dibuat sejurus selepas Perdana Menteri Dr Mahathir mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang kini ditadbir oleh PAS.
“Mereka akan kaya-raya selepas ini,” kata Dr Mahathir, dalam satu dialog dengan pengamal media PH baru-baru ini.
Pengumuman Dr Mahathir itu selaras dengan manifesto PH yang berjanji akan memberikan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu jika berkuasa di peringkat pusat.
Pengumuman ini juga disambut baik oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakub.
Penulis politik, Mohamad Sayuti Omar pula berkata usaha membawa PAS bersama PH bukan saja datang daripada parti itu tetapi juga daripada rakan kongsi PH iaitu Bersatu khasnya di Kelantan.
“Saya mendapat maklumat Bersatu tidak berpuas hati dengan kegagalan mereka menang di Kelantan dan Terengganu dan meletakkan kesalahan itu kepada Amanah,” katanya kepada Malaysia Decides.
Dalam PRU14, PH tidak menang satu pun kerusi negeri di Kelantan dan Terengganu. PAS mengekalkan Kelantan apabila menang 37 kerusi negeri manakala baki 8 kerusi dimenangi oleh BN melalui Umno. PAS juga merampas Terengganu daripada BN apabila menang 22 kerusi manakala calon Umno menang 10 kerusi untuk BN.
“Jadi mereka (Bersatu) mahu tarik PAS bersama PH demi kepentingan Melayu,” kata Sayuti.
Sebelum ini, Sayuti turut menulis yang usaha sedang dibuat oleh bekas pimpinan PAS untuk membawa parti itu bersama PH. – 7 Mei, 2018.
Komen