Najib akan didakwa selepas SPRM siasat bekas CEO 1MDB


The Malaysian Insight

NAJIB Razak bakal berdepan tuduhan di mahkamah seawal minggu depan terkait dakwaan memindahkan wang berjumlah RM42 juta dari sebuah syarikat milik kerajaan ke dalam akaun peribadinya, kata sumber.

Menurut mereka, sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan bekas perdana menteri itu selama beberapa pada Selasa dan Khamis lepas pun, agensi itu percaya ia sudah ada kes yang kukuh untuk dibentangkan di mahkamah.

Kes itu menyentuh tiga pindahan wang daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB), ke akaun peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015.

SRC ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011 dengan matlamat membangunkan keselamatan tenaga untuk Malaysia. Tetapi sejak awal lagi, operasinya diselubungi rahsia.

Setahun selepas itu, SRC memutuskan hubungan dengan 1MDB untuk layak mendapatkan pinjaman RM4 bilion daripada dana pencen kerajaan, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Antara Disember 2014 dan Februari 2015, SRC memindahkan RM50 juta kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari yang kemudian memindahkannya pula ke Ihsan Perdana, sebuah entiti yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat bagi 1MDB.

Dari Ihsan Perdana inilah wang sebanyak RM42 juta masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri.

Najib menafikan beliau terlibat dengan jenayah kerana tidak tahu dari mana wang itu datang dan tidak pula mengarahkan sesiapa pun memindahkannya ke akaun beliau.

Pembelaan Najib difahamkan akan cuba menunjukkan ada individu di Kementerian Kewangan, SRC dan Ihsan Perdana yang bertindak sendiri dan tidak sebarang arahan bertulis daripada beliau supaya wang itu dipindahkan dari SRC International ke akaun bank peribadinya.

Pembelaan itu tidak akan dapat dipertahankan sekiranya orang lain yang terlibat dalam urusan tersebut buka mulut kenapa wang tersebut dipindahkan daripada sebuah entiti milik kerajaan ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri.

Sementara itu, SPRM telah memanggil bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan anggota lembaga SRC International, Shahrol Azral Ibrahim untuk disoal siasat, membayangkan siasatan kes itu hampir dilengkapkan.

Dua tahun lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyalahkan graduan Stanford University itu atas salah pengurusan di 1MDB.

Jawatankuasa itu mencadangkan tindakan diambil terhadap beliau.

Tiada apa yang berlaku.

Tiadanya tindakan itu mencetuskan spekulasi yang Shahrol tahu terlalu banyak tipu helah di 1MDB dan mengkhianatinya cukup bahaya untuk mereka yang mahu skandal itu ditutup.

Shahrol menyertai 1MDB pada 2009. Sebelum itu, beliau perundingan dengan Accenture.

Beliau meninggalkan 1MDB pada 2013 dan menyertai Pemandu atau Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan, yang baru-baru ini dimansuhkan.

Malaysia Decides difahamkan beberapa pegawai kanan 1MDB yang lain sudah dipanggil untuk diambil keterangannya oleh SPRM. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen