APABILA Najib Razak didakwa di mahkamah nanti, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad percaya ia sudah mengikis semua rasa simpati rakyat Malaysia yang mungkin ada melihat bekas perdana menteri duduk di kandang tertuduh.
Mendakwa seseorang yang pernah memegang jawatan tinggi di negara ini selalunya kerja yang rumit bagi sebuah kerajaan baru.
Malaysia tidak pernah melalui pengalaman seperti ini.
Memang benar, seorang timbalan perdana menteri pernah didakwa dan disabitkan atas tuduhan salah guna kuasa dan meliwat. Memang benar, seorang bekas menteri besar yang berkuasa didakwa dan disabitkan atas tuduhan rasuah.
Tetapi belum pernah seorang bekas perdana menteri atau presiden Umno berdepan hukuman penjara. Mengheret bekas perdana menteri atau presiden seperti penjenayah mungkin perkara biasa di Korea Selatan, tetapi tidak di sini.
Hakikatnya, rakyat mahu tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kecurian dan penyelewengan dana daripada 1Malaysia Development Berhad, tidak pedulilah siapa pun mereka.
Tetapi pentadbiran Dr Mahathir juga faham ia perlu memastikan ada satu pandangan umum tentang Najib sebelum pendakwaan rasmi dibuat terhadapnya.
Itu sebabnya berkotak-kotak beg tangan mewah ditayang dan timbul cakap-cakap tentang jumlah wang tunai yang melampau dirampas dari premis yang ada kaitan dengan Najib. Semua itu sama mustahaknya dengan melengkapkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atasnya.
Rencananya ialah mengikis semua rasa simpati terhadap bekas perdana menteri dan keluarganya, dan menggantikannya dengan rasa marah dan meluat.
Kerajaan baru ini yakin dengan meletakkan keluarga Razak dalam kelompok yang sama dengan Marcos, itu sudah cukup untuk menafikannya peluang untuk berpura-pura teraniaya.
Dengan selesainya bab itu, kita hanya menunggu masa saja sebelum bekas perdana menteri perlu menjawab pertuduhan di bawah akta penggubahan wang haram. – 27 Mei, 2018.
Komen