Biar mahkamah putuskan, kata Rafizi berhubung hukuman penjara dihadapinya


The Malaysian Insight

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli menolak dakwaan campur tangan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berhubung hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

Beliau mahu mahkamah bebas dalam membuat keputusan mengenai rayuannya.

“Kami laksanakan apa yang kami kata. Terpulang kepada hakim. Saya tidak tahu bagaimana hakim akan melihat perkara itu.

“Tidak akan ada campur tangan. Saya pun tidak meminta sebarang campur tangan, hanya berdoa agar hakim melihat perkara itu sebagaimana orang ramai melihat perkara itu,” kata Rafizi kepada Malaysia Decides dalam satu temu ramah.

Rafizi dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan.

Kedua-dua mereka didapati membocorkan maklumat berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), yang menguruskan program pembiakan ternakan lembu oleh kerajaan.

Pemerhati dan penganalisis berkata tuduhan itu dibuat semata-mata untuk menghukum pemberi maklumat.

Berikutan sabitan berkenaan, bekas ahli Parlimen Pandan itu membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rafizi pada 2011 mendedahkan NFC membeli beberapa unit kondominium mewah.

NFC dikendalikan Dr Mohamed Salleh Ismail, yang merupakan suami Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil. Syarikat itu menerima suntikan dana dalam bentuk pinjaman sebanyak RM250 juta daripada kerajaan sewaktu pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Salleh didakwa empat pertuduhan menyalahgunakan sejumlah RM49.7 juta wang NFC pada tahun sama, tetapi kemudiannya dibebaskan daripada sebarang tuduhan.

Pada November 2016, Rafizi kalah saman fitnah dan diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM200,000 kepada Salleh dan NFC kerana mendakwa syarikat berkenaan mengambil pinjaman bank untuk membeli unit kondominium. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen