KEBERADAANNYA masih menjadi tanda tanya, pun begitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman menerusi peguamnya berkata akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“SPRM dialu-alukan untuk menggeledah kediaman peribadinya,” kata peguam Musa, Zahir Shah dalam kenyataan.
Zahir berkata anak guamnya berkomunkasi dengan pihak berkuasa melaluinya dan kenyataan Musa akan dikongsi menerusi bekas setiausaha akhbar Afeiza Khan.
Musa dipercayai berada di luar negara, menurut laporan media.
Pada 14 Mei, beliau dilihat meninggalkan Kota Kinabalu untuk ke Kuala Lumpur menaiki pesawat Malindo Air.
The Star pada awal hari ini melaporkan bahawa Musa dipercayai berada di London, namun laporan lain mengatakan yang beliau tidak meninggalkan negara, menurut Jabatan Imigresen pasportnya tidak direkodkan di mana-mana pintu keluar negara.
Polis Sabah sedang mengesan Musa untuk merakamkan kenyataannya berhubung dakwaan mengugut Yang Di-Pertuan Negeri Juhar Mahiruddin berkenaan angkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei, sehari selepas PRU14.
Musa bukan lagi ketua menteri selepas adun BN belot dan menyertai Parti Warisan Sabah, memberikan majoriti sokongan kepada presidennya Shafie Apdal untuk membentuk kerajaan dan menjadi ketua menteri. – 26 Mei, 2018.
Komen