PENDUDUK Taman Desa di Kuala Lumpur membidas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kerana tidak bertindak terhadap pembangunan yang berlebihan di kawasan itu.
Dalam hantaran di Facebook ‘Protect Taman Desa From Over-Development’, penyelaras media M. Gunasekar mendakwa wakil rakyat DAP itu tidak mengendahkan tuntutan penduduk berhubung isu tersebut.
“Dia tidak hadir sebarang himpunan protes atau sidang media yang dianjurkan gabungan. Cubaan untuk meminta beliau menganjurkan sesi town hall juga gagal.
“Dia tidak sanggup menyatakan pendiriannya mengenai isu pembangunan berlebihan dan pengambilalihan tanah di Taman Desa,” katanya dalam Facebook.
Sebagai tindak balas terhadap kritikan yang ditimbulkan terhadapnya, Kok berkata beliau akan menganjurkan sesi town hall dengan penduduk selepas menteri wilayah persekutuan baru dilantik dan mengumumkan hala tuju baru.
“Harap bersabar, saya sedar mengenai komunikasi dalam kumpulan perbualan penduduk di Taman Desa,” katanya, sambil menambah bahawa Datuk Bandar Amin Nordin Abd Aziz akan meneliti isu itu selepas menteri wilayah persekutuan dilantik kelak.
Persatuan penduduk memprotes kelulusan beberapa projek berkepadatan tinggi walaupun infrastruktur berusia hampir empat dekad, termasuk pengangkutan awam, jalan raya dan paip air, masih belum ditingkatkan.
Tahun lepas, penduduk memfailkan saman terhadap Amin untuk menghentikan pembinaan sebuah kondominium yang mempunyai ketinggan tiga hingga empat kali ganda berbanding bangunan di kawasan sekitarnya. – 26 Mei, 2018.
Komen