Najib sindir Guan Eng tentang ekonomi negara


The Malaysian Insight

KEBELAKANGAN ini, bekas perdana menteri Najib Razak dilihat gemar mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengenai hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Najib dalam hantaran terbaru di Facebook malam ini memetik kenyataan Lim pada Jumaat bahawa asas ekonomi kekal kukuh walaupun sebelum itu mengumumkan mengenai hutang negara yang besar.

“Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum PRU14 kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.

“Cuma dua minggu lebih sahaja?” soalnya dalam laman Facebook, merujuk pilihan raya 9 Mei yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan menawan Putrajaya.

Hantaran itu turut disertakan dengan laporan The Star pada 25 Mei mengenai kenyataan Lim bahawa ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun terdapat keperluan untuk meningkatkan fiskal. Lim menjawab soalan pemberita mengenai bagaimana kerajaan boleh menarik semula minat pelabur memandangkan jumlah hutang yang besar ditanggung kerajaan ketika ini.

Lim dalam sidang media pada 22 Mei selepas mengangkat sumpah jawatan mengesahkan hutang Malaysia mencecah RM1 trilion.

Najib menulis di Facebook pada 23 Mei, menuduh Lim bermain dengan “naratif politik” daripada menyatakan fakta yang sebenar dan pengumuman mengenai hutang negara tanpa butiran lanjut akan “menyulitkan pasaran kewangan dan mengejutkan agensi penarafan kredit serta keyakinan pelabur. “

Hantaran berikutnya bertarikh 24 Mei, di mana Najib berkata BN sentiasa telus mengenai hutang kerajaan selepas Lim memperincikan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

Najib kemudian memuat naik kenyataan lain berkata adalah salah untuk Lim mengatakan Kementerian Kewangan terpaksa “bail out” 1Malaysia Development Berhad. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen