ANIFAH Aman, saudara kandung Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman, berkata mereka tidak berhubung antara satu sama lain malah tidak tahu keberadaan adiknya itu.
Kali terakhir dia bercakap dengan Musa adalah pada malam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei dan pada awal 10 Mei.
“Saya bertanya kepada beliau jika dia memerlukan bantuan ... tetapi dia berkata tidak.
“Dia (Musa) tidak memerlukan pertolongan saya kerana dia boleh mengurus masalahnya sendiri, tetapi apa yang penting sekarang ialah hubungan kami sebagai adik beradik masih utuh,” kata yang juga merupakan bekas menteri hal ehwal luar kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu, Sabah malam ini.
Polis Sabah cuba mengesan Musa untuk merakamkan kenyataannya mengenai dakwaan mengugut Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahirrudin pada malam beliau bersumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.
Selepas Adun BN belot dan masuk Warisan Sabah, presidennya Shafie Apdal memperolehi majoriti sokongan dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang sah.
Musa dipercayai tidak lagi berada di negara ini. The Star melaporkan awal hari ini bahawa dia telah pergi ke London melalui Brunei dan Singapura.
Bagaimanapun, laporan lain mengatakan dia mungkin masih berada di negara ini kerana Jabatan Imigresen tidak mempunyai rekod pasportnya di mana-mana pintu keluar.
Anifah, ahli Parlimen Kimanis, berkata tidak pelik jika beliau dan Musa tidak dapat dihubungi kerana kedua-dua mereka sibuk berpolitik.
Dia juga berseloroh dengan mengatakan sudah tiba masanya untuk Musa berehat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Joseph Pairin Kitingan, Dr Yee Moh Chai, Presiden Bintang Sabah, Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin, Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup, ahli Umno Zakaria Edris, Ariffin Arif, kumpulan MySabah yang diketuai oleh Anifah. – 26 Mei, 2018.
Komen