Angkatan tentera perlukan aset baru, kata Mohamad Sabu


The Malaysian Insight

MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu berkata, angkatan tentera Malaysia perlu ditingkatkan dengan aset moden dan canggih sebagai sebahagian daripada pembaharuan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan negara.

Walaubagaimanapun, beliau berkata kementerian akan mengkaji semula perjanjian sedia ada yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu berhubung pembelian aset bagi memastikan semua urus niaga dibuat dengan telus.

“Kita perlu melaksanakan beberapa pembaharuan. Tetapi kita juga memerlukan aset moden dan canggih.

“Apa yang kita boleh kawal adalah memastikan pembelian aset itu dibeli pada nilai yang betul,” katanya kepada media semasa sesi lawatan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, Pulau Pinang.

Mohamad berkata selepas diberi taklimat oleh pegawai-pegawai mengenai operasi di kementerian dan angkatan tentera, beliau percaya bahawa keutamaan kementeriannya adalah untuk “menyusun semula aset”.

“Saya akan bawakan ini kepada Kabinet dan berharap perdana menteri dapat meluluskannya.”

Kenyataan Mohamad itu dibuat susulan pentadbiran Pakatan Harapan perlu menangani hutang negara bernilai RM1 trilion yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional yang lalu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa angkatan udara merancang untuk menggantikan MiG-29 Rusia, yang kebanyakannya tidak digunakan. Dassault Perancis mengintai untuk mengikat perjanjian jual beli 18 jet pejuang Rafale ke Malaysia berjumlah AS$2 bilion.

Jet, Rafale, yang dibuat oleh Dassault dilihat sebagai pelopor dalam rancangan Malaysia untuk membeli sehingga 18 pesawat dalam perjanjian bernilai lebih AS$ 2 bilion dalam salah satu tawaran pesawat pejuang terbesar di Asia.

Satu lagi pesaing perjanjian itu ialah BAE Systems Britain yang membina Eurofighter Typhoon.

Untuk meningkatkan pertahanan maritim di Malaysia Timur dan Laut China Selatan, Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga dalam program transformasi 30 tahun bernilai beribillion ringgit yang akan menyaksikan beberapa kapal lama yang kos penyelenggaraan mahal digantikan dengan 50 kapal baru.

Program ini akan meningkatkan dan menyusun semula kapal-kapal, sementara mengurangkan pengkelasan kapal daripada 15 kepada lima.

Mohamad berkata beliau tidak dapat menetapkan tempoh siasatan ke atas perjanjian perolehan lalu yang didakwa mempunyai elemen rasuah dan penyelewengan.

“Sekiranya kita mahukan penyelidikan holistik, kita perlu mempunyai jawatankuasa khas yang boleh melihatnya ... seperti pasukan petugas khas 1MDB.

“Jika kita ada jawatankuasa seperti itu, ia boleh menyiasat sama ada terdapat penyelewengan. Kemudian ia boleh membuat cadangan tentang tindakan yang akan diambil.”

Mohamad berkata sekiranya ada kebocoran dana, pentadbiran sekarang mesti menutupnya bagi memastikan ia digunakan secara betul.

Beliau menambah walaupun Putrajaya telah mengambil langkah untuk menangani hutang negara, kebajikan anggota tentera dan rakyat tidak akan dikompromi. - 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen