Komposer Pete Teo bidas kolumnis Bloomberg


The Malaysian Insight

KOMPOSER dan pembikin filem terkenal membidas kolumnis Bloomberg yang menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar bijaksana dalam melakukan pendedahan.

Menulis di Facebook, Pete Teo mempertahankan pendedahan terbaru Lim mengenai hutang kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menurutnya perlu untuk memperbetulkan yang salah, tidak kira apa pun sentimen pasaran.

Beliau mengulas artikel kolumnis Blommberg Andy Mukherjee, yang memberitahu Lim agar “bijaksana” dalam mendedahkan butiran mengenai hutang Malaysia yang berjumlah RM1 trilion dan kesukaran 1MDB untuk memenuhi obligasi kewangannya.

Teo berkata Mukherjee menulis tanpa memikirkan mengenai rakyat Malaysia.

“Sebenarnya, kami tidak kisah tentang turun naik jangka pendek pasaran saham. Apa yang kami bimbangkan adalah rasuah, pendidikan, salah guna kuasa, hubungan antara kaum - isu penting kesejahteraan negara kami,” katanya.

“Pada masa akan datang, jika anda kalah pertaruhan dalam turun naik pasaran saham, oleh kerana masa yang tidak kena atau tidak bernasib baik atau kebodohan sendiri. Cuba tolong jangan salahkan ketelusan pentadbiran baharu kami.

Teo berkata ia merupakan pengorbanan rakyat Malaysia untuk memperbetulkan apa yang salah dalam pentadbiran terdahulu.

“Jadi, jika kami secara tidak sengaja merugikan kamu dalam usaha kami untuk memperbetulkan kesalahan urus tadbir berdekad lamaya oleh pentadbiran terdahulu, maaflah.

“Namun bukan anda yang akan menangisi negara ini jika ia gagal, yang sememangnya hampir gagal di bawah rejim korup sebelum ini,” tambahnya.

Teo turut membidas penulis berkenaan yang dianggapnya sebagai “pemalas” dan “menghina” rakyat Malaysia dengan pandangan pasaran-sentrik.

“Tetapi kami tidak bodoh untuk keliru antara duit haram dengan pelaburan sebenar yang memberikan kami peluang pekerjaan, latihan, pendapatan, penciptaan kekayaan yang saksama.” – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen