Rakyat Malaysia hadiahkan coklat kepada polis 


The Malaysian Insight

BERIKUTAN dakwaan terhadap polis berhubung “kehilangan coklat” di kediaman peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, rakyat Malaysia di seluruh negara menghantar coklat kepada balai polis sebagai penghargaan.

Usaha ini dimulakan oleh peguam Siti Kasim dan rakannya, yang menubuhkan akaun Facebook, menjemput rakyat Malaysia menunjukkan sokongan mereka dengan memberi coklat kepada pihak polis hari ini.

“Saya sudah banyak kali berurusan dengan pihak polis dan kebanyakan masa mereka menolak tawaran untuk minum kerana mereka sedang bertugas.

“Niat saya menerusi tindakan ini adalah untuk memberitahu pihak polis bahawa kami menyokong setiap usaha keras kamu, ia adalah satu penghargaan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan coklat kepada Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas di Kuala Lumpur.

Tidak seperti di negeri lain, polis Kuala Lumpur dilarang menerima coklat dan meminta Siti menghantarnya ke balai bomba.

“Memandangkan kami ada banyak coklat melalui derma orang ramai, saya buat keputusan untuk serahkan kepada balai bomba kerana mereka juga penjawat awam, berkhidmat kepada negara dan rakyat,” katanya.

Sementara itu di Facebook, rakyat dari seluruh negara berkongsi gambar mereka menghantar coklat ke balai polis.

“Rakan saya bertanya sama ada memberi coklat itu boleh dikira sebagai rasuah. Rasuah ialah apabila kamu memberi sesuatu dengan mengharapkan sesuatu balasan.

“Tapi ini hanya hadiah, saya tak rasa ini rasuah,” katanya.

Minggu lalu, Najib dan peguamnya berkata pegawai polis yang menyerbu unit kondominium yang dihuni anaknya telah memakan coklat dari peti sejuk dan meminta makanan disediakan kepada mereka.

Bukit Aman bagaimana pun meminta Najib menyediakan butiran untuk menyokong dakwaan itu bahawa polis bertindak luar batasan ketika serbuan. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen