TIDAK salah pemimpin yang mempunyai latar belakang pendidikan agama memegang jawatan menteri, kata peguam Siti Kasim.
Beliau berkata bantahan terhadap pelantikan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan dibuat kerana bimbang terhadap masa depan negara ini.
“Ini adalah kebimbangan saya mengenai masa depan Malaysia, tidak ada kena mengena dengan kuat agama atau tidak. Saya sedar yang Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad orang agama dan Mat Sabu (Mohamad Sabu) dulunya PAS.
“Kenapa saya tidak buat bising dengan pelantikan mereka? Ini kerana mereka tidak ditugaskan untuk membentuk minda anak muda, orang yang bertanggungjawab dalam jabatan pendidikan sangat penting,” katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas.
Pelantikan Dr Maszlee sebagai menteri pendidikan mencetuskan perdebatan dan kritikan, khususnya berhubung dakwaan beliau menyokong penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.
Siti mengulas kenyataan Maszlee yang berkata menjadi orang agama bukanlah jenayah dan menjelaskan yang sokongannya terhadap Zakir dibuat atas dasar kebebasan bersuara dan bukan menyokong ceramah bersifat kebencian.
“Jawapan beliau tidak menyakinkan kami, sudah tentu menjadi orang beragama bukan satu jenayah dan menjadi orang yang tidak kuat agama juga bukan jenayah tetapi itu bukan jawapan yang kami mahukan.
“Sebagai seseorang yang bertanggungjawab terhadap (pendidikan) kanak-kanak, kami mahukan seseorang yang mampu mengurangkan sifat religio-sentrik di sekolah, kerana bagi saya ia akan menyebabkan perpecahan kaum.
“Jika kerjaaan mahu semua kaum bersatu, mereka harus mengurangkan pengajaran bersifat religio-sentrik,” katanya.
Beliau menambah yang pengajaran agama harus diajar secara peribadi dan bukan di sekolah.
“Ini kebimbangan saya kerana kalau dilihat sekarang ini orang muda tidak dapat menerima tafsiran berbeza tentang agama dan ia sangat bahaya,” katanya.
Maszlee, yang merupakan pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang tadbir urus dari University of Durham, United Kingdom.
Latar belakang pendidikan dalam bidang urus tadbir Islam dan fahaman Salafi yang dipegangnya mengundangkan rasa tidak senang dan kritikan orang ramai. – 26 Mei, 2018.
Komen