Ketua menteri tiada lagi kuasa kawal projek, kata Shafie


The Malaysian Insight

KETUA menteri Sabah tidak lagi mempunyai kuasa untuk meluluskan projek tidak seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini di bawah rombakan semula kerajaan negeri.

Menurut Shafie Apdal, kelulusan projek bukan lagi di bawah kuasa badan pusat di bawah pentadbirannya, sebaliknya oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh menteri di bawah kerajaan yang dipimpin Warisan.

Bagi pembangunan hartanah contohnya, beliau berkata jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh menteri, bersama panel yang daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya.

“Di bawah jawatankuasa ini, ia bukan sahaja melihat kepada keperluan menyediakan permit, kelulusan projek juga akan lebih pantas berbanding tempoh masa sistem sebelum ini.

“Inisiatif yang sama bukan sahaja dilaksanakan di bawah pembangunan hartanah sahaja, malah juga dalam sektor lain di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada program walkabout di bazar Ramadan Sembulan di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau sedia maklum bahawa kertas kerja sedang disiapkan untuk memulakan inisiatif baharu itu dan arahan telah diberikan kepada semua menteri kabinet berhubung perkara itu.

Shafie berkata, buat masa ini semua projek besar daripada kerajaan terdahulu akan dihentikan dan akan disenaraikan mengikut kepentingan.

Katanya, hanya projek yang memberi manfaat positif atau pulangan kepada negeri akan diberi keutamaan dalam senarai kelulusan.

“Kita perlu mengkaji dahulu memandangkan situasi ekonomi sekarang tidak memberangsangkan..seperti kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga berdepan dengan kekangan kewangan,” katanya.

Shafie berkata itu salah satu sebab mengapa beliau melaksanakan larangan sementara eksport kayu balak.

“Ada sesetengah syarikat sudah tampil dan mereka mungkin akan mengalami kerugian daripada larangan itu, mereka masih boleh menjual kayu balak secara domestik.

“Dalam masa yang sama, mereka boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan membina industri pembalakan dan perabot berbanding mengeksportnya yang kadangkala kerajaan boleh mengutip royalti balak,” katanya. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen