MUSA Aman, yang dilaporkan sudah meninggalkan Malaysia, dipercayai sebenarnya masih berada di dalam negara berdasarkan rekod Imigresen, lapor portal BH Online.
Bekas ketua menteri Sabah itu bagaimanapun sehingga kini masih belum tampil untuk membantu siasatan polis berhubung laporan oleh Yang Di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.
“Tan Sri Musa belum tampil memberi keterangan. Yang kita tahu, beliau tiada di Kota Kinabalu,” kata pesuruhjaya polis Sabah, Ramli Din, seperti dipetik portal berita itu.
Jabatan Imigresen juga sedang memantau pergerakan Musa selepas ada arahan daripada pihak tertinggi jabatan itu, lapor BN Online memetik sumber.
The Star hari ini melaporkan Musa dipercayai sudah meninggalkan Malaysia dan dalam perjalanan menuju ke London. Laporan itu juga menyebut Musa meninggalkan Malaysia sebelum pihak berkuasa mendapatkan perintah larangan ke luar negara terhadapnya.
Pada 14 Mei lepas, Musa datang ke Kuala Lumpur dari Kota Kinabalu dengan penerbangan Malindo Air untuk menghadiri mesyuarat badan perhubungan Umno negeri-negeri dengan Ahmad Zahid Hamidi yang memangku tugas presiden parti, kata laporan.
Juhar pada hari yang sama membuat laporan polis dipercayai berkait dengan tindakan Musa memfailkan writ saman untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ketua menteri.
Polis sebelum ini menggesa Musa tampil memberikan keterngan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Musa, melalui peguamnya, setakat ini menafikan membuat ugutan terhadap Juhar.
Polis sehingga ini sudah mengambil keterangan daripada sembilan individu termasuk Juhar.
Pada 10 Mei, sehari selepas PRU14, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah di hadapan Juhar. Lebih kurang 48 kemudian, beliau bagaimanapun hilang majoriti mudah yang ada padanya pada masa itu.
Pada 12 Mei, Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah selepas parti Warisan mempunyai 35 daripada 60 kerusi di dewan undangan negeri, bersama PKR dan DAP.
Selain siasatan laporan Juhar itu, SPRM Rabu lalu gagal menemui Musa di kediamannya di Kota Kinabalu kerana beliau tiada di rumah.
Kedatangan SPRM itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap Presiden Star, Jeffrey Kitingan yang didakwa menerima bayaran RM20 juta untuk jadi penentu pembentukan kerajaan BN di Sabah. Jeffrey menafikan tuduhan itu. – 26 Mei, 2018.
Komen