KUMPULAN yang mendakwa diri mereka sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Perak memaksa pekerja kedai serbaneka Speedmart 99 untuk mengosongkan arak daripada peti jualannya pada Khamis lepas.
Dalam rakaman video berdurasi 10 minit yang dimuat naik ke Facebook, kumpulan yang terdiri daripada 10 lelaki itu dilihat memantau pekerja-pekerja berkenaan mengosongkan peti sejuk dan membungkus semula minuman beralkohol itu ke dalam kotak.
Pada awal rakaman video berkenaan, seorang daripada mereka didengar berkata: “Biar mereka buat dan kita tak usah sentuh apa-apa,” katanya merujuk kepada arak berkenaan.
Seorang lagi berkata, “Bukan kita mahu pecahkan apa ke apa. Kalau tak mahu juga, kena pecah lah. Kita cakap elok-elok pun tak mahu dengar.”
Ketika pekerja menyimpan minuman tersebut, seorang lagi mengarahkan mereka untuk mengambil dan menyorokannya.
“Benda ini haram dan kalau ada di sini, kami tak boleh beli benda lain,” kata seorang lelaki.
Seorang lagi berkata ini kali keempat mereka datang meminta kedai berkenaan supaya tidak menjual arak.
Selepas semuanya selesai, seorang daripada pemimpin mereka berkata mahu membuat laporan polis.
“Ini adalah permulaan positif dan kita harap NGO lain dapat ikut,” katanya disambut dengan tepukan.
Rakaman video kedua pula menunjukkan kumpulan lelaki itu di luar balai polis Manjoi bersama laporan polis yang dibuatnya.
“Kami kumpulan NGO Perak yang dipanggil Jabat, dan kami berjaya kosongkan semua arak daripada kedai Speedmart 99 di Manjoi. Kami akan terus memantau kedai-kedai lain,” kata ketuanya.
Rakaman itu turut dikongsi di laman Facebook Hafez Sabri, yang merupakan calon kerusi Manjoi daripada PAS.
“Saya saya bersama masyarakat gugusan Manjoi dan gabungan NGO2 JABAT menuntut supaya pasaraya Speedmart 99 yang beroperasi dalam kampung Manjoi ini dengan serta merta menghentikan penjualan minuman keras di pasaraya ini. Gugusan Manjoi mempunyai sekitar 97% masyarakat melayu Islam, untuk makluman semua sebelum ini pihak Masjid Ghufran Manjoi dan masyarakat setempat telah menyatakan bantahan kepada pihak pengurusan speedmart 99 tentang isu penjualan arak di kampung melayu ini, tapi tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak speedmart 99,” tulis beliau dalam hantaran tersebut.
“Kenapa pihak SpeedMart 99 masih berdegil ingin menjual arak disini?” katanya yang juga ketua Pemuda PAS Tambun.
Sama seperti di Indonesia, kumpulan pelampau Front Pembela Islam (FPI) mengambil kesempatan di bulan Ramadhan menyerbu pub dan kedai yang menjual arak.
FPI yang semakin berani ekoran kurangnya tindakan oleh kerajaan, menghantar sukarelawan memantau secara berkala ke kedai dan kelab malam yang menjual arak ketika bulan Ramadan sejak 2012. – 26 Mei, 2018.
Komen